JASIN 29 Julai - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri mengambil pelbagai pendekatan dalam memperkenal serta memperluaskan produk makanan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang telah menembusi pasaran nasional dan antarabangsa.
Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Selatan/20130730/ws_03/FAMA-ambil-pelbagai-pendekatan-perluaskan-pasaran-produk
Published: July 30, 2013
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri,
Datuk Hasan Abdul Rahman berkata, kemampuan itu berjaya dibuktikan
melalui penglibatan usahawan di bawah bimbingan agensi berkenaan yang
dilaksanakan dengan penganjuran karnival, ekspo, pesta dan lain-lain
aktiviti promosi.
Katanya, usaha yang diterapkan FAMA terhadap usahawannya mampu
menjadi pilihan dalam kalangan pengusaha lain dan sewajarnya menjadi
ikon dalam melahirkan lebih ramai usahawan.
"Menerusi program ini, usahawan mendapat pendedahan selain
meningkatkan kefahaman mereka berkaitan kehendak pasaran dari segi
permintaan dan trend pasaran di samping meningkatkan jaringan perniagaan
dan meluaskan pasaran baru sekali gus meningkatkan pendapatan usahawan.
"Jika kita dapat wujudkan rangkaian yang lebih besar terhadap
pendekatan yang dilakukan ia dilihat mampu menguasai pasaran dalam dan
luar negara yang secara langsung akan memberi pulangan yang baik kepada
para usahawan di bawah FAMA," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan program
Penganjuran Pusat Jualan Produk Industri Asas Tani (IAT) makanan sempena
Aidilfitri 2013 di AgroBazar K-Shoppe, Hamidah Food Industries, Umbai
di sini hari ini.
Yang hadir sama, Pengarah FAMA negeri, Mohd. Nawi Othman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Zaidi Attan.
Hasan berkata, di pusat jualan produk IAT itu, pihak FAMA telah
menyediakan ruang perniagaan berserta kemudahan yang diperlukan meliputi
publisiti serta keperluan asas gerai.
"Usahawan pula menyediakan produk seterusnya menjalankan aktiviti
promosi dan jualan terus di lokasi berkenaan seterusnya memberi
kemudahan kepada orang ramai mendapatkan bekalan produk makanan serta
juadah untuk Hari Raya Aidilfitri," katanya.
Sementara itu, Mohd. Nawi berkata, jualan Bazar K-Shoppe Fama Melaka
tahun lalu berjaya mencatat nilai RM4.47 juta melibatkan enam usahawan
menjalankan urusniaga pemborongan serta peruncitan produk proses
keluaran IAT.
No comments:
Post a Comment