Thursday, August 1, 2013

PKS dikeluarkan dari TPPA

Kuala Lumpur: Bidang berkaitan kepentingan komuniti perniagaan Bumiputera dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) telah dikeluarkan daripada tawaran Malaysia bagi pemerolehan kerajaan dalam Rundingan Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA).

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PKSdikeluarkandariTPPA/Article
Published: August 01, 2013

PKS dikeluarkan dari TPPA
Pengarah kanan MITI, J Jayasiri (kiri) ketika dialog TPP di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, walaupun pasaran pemerolehan kerajaan akan dibuka pada tahap tertentu untuk disertai negara TPP lain, ia akan dilindungi pemegang kepentingan, termasuk bagi memastikan tahap perlindungan yang saksama untuk PKS.

Had tawaran

“Had dalam tawaran kami (iaitu nilai bidaan yang dibuka untuk pembidaan syarikat anggota TPP) akan diputuskan dalam perundingan dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” kata MITI dalam satu kenyataan, semalam.

MITI berkata, kepentingan nasional dan kedaulatan negara akan terus diberikan keutamaan tertinggi dalam memandu pasukan rundingan Malaysia.

Ia berkata, walaupun pemimpin TPP sudah menetapkan sasaran Oktober 2013 untuk memuktamadkan rundingan, ia bukanlah tarikh akhir muktamad memandangkan pihak yang terbabit dalam rundingan masih mempunyai banyak isu sensitif yang akan terus dibincangkan.

Beri manfaat rakyat
“TPPA akan dimuktamadkan dengan mengambil kira kepentingan terbaik Malaysia yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Dari segi perusahaan milik negara (SOE) dalam rundingan TPP, MITI berkata Malaysia berhujah bahawa negara mempunyai sistem ekonomi yang berbeza, dengan SOE dan GLC memainkan peranan penting.

“Bagi Malaysia, SOE atau GLC adalah alat penting untuk kerajaan merealisasikan matlamat pembangunan dan sosial, dan adalah pemangkin penting dalam memajukan sektor yang dianggap strategik, yang tidak menarik pembabitan komersial.

“Untuk menjayakannya, sokongan diperlukan terutama apabila ketiadaan insentif komersial,” katanya.

Kementerian itu berkata, Malaysia mahukan fleksibiliti dalam perjanjian yang membolehkan penyertaan berterusan entiti terbabit dalam ekonomi dan menyediakan perkhidmatan dan barangan awam dan sosial.

Mengenai hak harta intelek, MITI berkata, antara kebimbangan utama berkisar terhadap akses kepada perubatan dan penjagaan kesihatan yang mampu ditanggung selain perlindungan jangka panjang yang mungkin melewatkan pengeluaran ubat-ubatan generik.

“Malaysia yakin keseimbangan dapat dicapai antara melindungi hak syarikat farmaseutikal dan hak penduduk untuk memperoleh ubat-ubatan mampu milik dan Malaysia akan berusaha untuk mencapai keseimbangan itu dalam rundingan TPP,” katanya.

MITI menganjurkan Hari Terbuka TPP hari ini bagi memberikan maklumat terkini kepada media dan orang ramai mengenai isu membabitkan TPP, selain menjelaskan tanggapan salah mengenainya serta mendengar pandangan ramai.

No comments: