Source From (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/5inisiatifbaruperkukuhpasaranmodal/Article
Published: on 30 May 2012
Oleh Faiza Zainudin, Ahmad Farizal Hajat dan Mahanum Abdul Aziz
Kerajaan laksana langkah pacu ekonomi, tingkat daya saing negara peringkat antarabangsa
DATUK
Seri Najib Razak mengumumkan lima inisiatif baru bagi merangsang dan
mengukuhkan lagi pasaran modal negara, justeru membolehkan ia kekal
berdaya saing pada peringkat antarabangsa khususnya di ASEAN.
Perdana Menteri berkata, inisiatif itu dirangka khusus selaras
dengan keperluan pelabur tempatan dan antarabangsa dalam pasaran modal
tempatan dan pada masa sama mampu memacu ekonomi serta agenda
pertumbuhan nasional.
Inisiatif pertama membabitkan usaha menangani jurang pertumbuhan dalam
pasaran dengan memberi tumpuan khusus kepada pertumbuhan perusahaan
kecil dan sederhana (PKS), inovasi pasaran dan pembangunan bakat sedia
ada dan baru.
Bagi tujuan itu, Najib berkata, kerajaan akan mengamanahkan
Bursa Malaysia untuk menubuhkan sebuah yayasan baru, yang dianggotai
pemegang kepentingan utama industri.
“Bagi menyokong usaha itu, kerajaan akan memberikan geran
berjumlah RM100 juta kepada Dana Pembangunan Pasaran Modal (CMDF) bagi
menubuhkan yayasan baru itu yang mana ia akan dipengerusikan oleh Ketua
Setiausaha Perbendaharaan Negara,” katanya dalam ucaptama di persidangan
Invest Malaysia 2012 di Kuala Lumpur semalam.
Inisiatif kedua pula, kerajaan akan memberikan pengurangan cukai
dua kali ganda ke atas peruntukan dan perbelanjaan latihan yang
digunakan syarikat yang menyertai program Skim Latihan 1Malaysia bermula
1 Jun ini.
Pengurangan cukai itu bertujuan menggalakkan lebih banyak syarikat
korporat terbabit dalam program pembentukan kakitangan berkemahiran
tinggi di samping membantu lepasan universiti, khusus-nya daripada
keluarga berpendapatan sederhana dan rendah yang tinggal di luar bandar
untuk mendapatkan pekerjaan.
Bagi inisiatif ketiga, sebagai usaha mempromosikan kepelbagaian
gender dalam bidang pekerjaan dan membantu wanita yang ingin kembali
semula ke dunia pekerjaan, kerajaan turut memberikan insentif
pengurangan cukai berganda untuk perbelanjaan latihan yang digunakan
oleh syarikat yang mengambil semula wanita yang berehat daripada kerjaya
masing-masing, mulai 2013.
“Saya juga menggalakkan syarikat senaraian awam utama mendedahkan
dalam laporan tahunan masing-masing, dasar aturan kerja anjal yang
mereka tawarkan bagi membantu menyokong wanita,” kata Najib yang juga
pemangku Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat.
“Saya yakin dengan pendedahan itu ia akan membantu memperluaskan
amalan korporat terbaik dalam pelbagai syarikat di Malaysia,” jelasnya,
sambil menambah kementerian yang bertanggungjawab untuk wanita itu
akan bekerjasama dengan TalentCorp bagi merealisasikan tujuan berkenaan.
Inisiatif keempat, kerajaan akan menubuhkan Pasukan Petugas
Pasaran Modal dalam usaha menghapuskan kerenah birokrasi supaya
penerbit, pengantara dan pelabur mempunyai akses kepada kecekapan,
keberkesanan dan kemudahan pasaran.
Pasukan petugas yang akan diketuai oleh Menteri Kewangan Kedua,
Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah itu akan memberi cadangan dan mengenal
pasti program pelaksanaan yang jelas bagi memperkemaskan dasar dan
proses pengurusan pasaran, yang mana proses itu dijangka dimuktamadkan
sebelum suku ketiga ini.
Bagi inisiatif kelima dan yang terakhir, bagi melindungi pelabur
dan masyarakat awam, kerajaan mengamanahkan Suruhanjaya Sekuriti (SC)
meningkatkan jumlah Dana Pampasan Pasaran Modal dalam pasaran modal
tempatan.
Bagi tujuan itu, Najib berkata sebuah dana baru yang akan
menggabungkan semua skim pampasan sedia ada akan ditubuhkan dengan
membabitkan peruntukan lebih RM420 juta.
Dana itu akan berfungsi sebagai pusat sehenti untuk pelabur mendapatkan pampasan dalam seluruh pasaran modal.
“Semua inisiatif berkenaan diharap dapat menangani isu utama dalam
pasaran modal tempatan bagi menggalakkan pertumbuhan mampan.
“Saya perlu membuat keputusan sukar seawal mungkin bagi
mengurangkan ketegangan selain mengelak masalah yang lebih sukar berlaku
dalam pasaran modal tempatan kerana saya yakin sekarang adalah masa
untuk memulakan program pembangunan pasaran modal yang inovatif dan
mampan yang akan menjadikan pasaran Malaysia sebagai pasaran pilihan
multinasional ASEAN,” katanya.
Di samping itu Najib turut menegaskan kerajaan akan memastikan had
hutang negara tidak melebihi paras 55 peratus daripada Keluaran Dalam
Negara Kasar (KDNK).
Ia sejajar dengan strategi pengurusan berhemat dalam mengurus kewangan negara.
Perdana Menteri berkata, kerajaan juga mengambil langkah
mengurangkan defisit fiskal bagi merangsang pertumbuhan ekonomi negara
secara konsisten dan berterusan.
“Kerajaan sentiasa memastikan pasaran modal berada dalam kedudukan
paling menarik bagi membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara, sekali
gus meletakkan negara selangkah lebih maju daripada negara lain,”
katanya.
Tahun lalu, negara mencatatkan defisit fiskal sebanyak 4.8 peratus daripada KDNK berbanding lima peratus sebelumnya.
No comments:
Post a Comment