Sunday, October 21, 2012

Usaha dua beradik diiktiraf

Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/usaha-dua-beradik-diiktiraf-1.95981

Published: October 21, 2012

Wartawan Sinar Harian

Danish (kiri) dan Nathan menunjukkan anugerah yang diterima di hadapan pasar mini milik keluarga mer
Danish (kiri) dan Nathan menunjukkan anugerah yang 
diterima di hadapan pasar mini milik keluarga mereka.
 
KUALA SELANGOR - Kesungguhan dua beradik mengusahakan perniagaan warisan tiga generasi dan berpegang teguh dengan penetapan harga patut dihargai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dengan Anugerah Kedai Pilihan Rakyat 1Malaysia sekali gus mengharumkan nama daerah ini.

Pengarah Pasar Mini KS Utama, S Nathan berkata, dia tidak menyangka akan menerima anugerah seumpama itu dan tidak mengetahui bahawa perniagaannya tersenarai dalam pilihan premis kedai kategori barangan pengguna bersama 1,449 premis lain seluruh negara.

Menurutnya, dia terharu dan gembira apabila usaha mereka untuk mengekalkan harga patut demi kepuasan pelanggan akhirnya berbaloi apabila menerima Anugerah Kedai Pilihan Rakyat 1Malaysia yang dahulunya dikenali Anugerah Kedai Harga Patut yang diperkenalkan sejak 2003 lalu.

“Pengiktirafan diberikan pihak kementerian ini sedikit sebanyak menaikkan nama perniagaan yang dijalankan anak jati Kuala Selangor dan saya cukup berbangga apabila usaha kami dihargai sekali gus meningkatkan kepercayaan pelanggan.

“Anugerah ini menjadi suntikan semangat untuk kami meneruskan usaha mengembangkan perniagaan dan jika tiada halangan, premis kelima akan dibuka di kawasan Kapar selepas pembukaan di kawasan Ijok, Bestari Jaya dan Kuala Selangor,” katanya.

Adiknya, S Danish berkata, dia bersama abangnya komited menjalankan perniagaan warisan keluarga ini walaupun dalam usia yang muda dan bekerjasama menempuh cabaran dan persaingan yang dihadapi setiap hari tanpa mengenal erti putus asa.

“Galakkan keluarga juga menjadi pendorong kepada usaha kami dan berharap dapat mengekalkan penetapan harga patut, bahkan dalam masa sama, dapat mewujudkan persekitaran perniagaan  kondusif,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

Anugerah enam kategori itu bertujuan untuk mengenalpasti, menilai dan mengiktiraf premis perniagaan yang menjual barangan dengan harga berpatutan serta bertepatan dengan kualiti barangan termasuk perkhidmatan ditawarkan kepada pengguna.

Penilaian dilaksanakan panel dilantik kementerian mengikut garis panduan pemarkahan ditetapkan iaitu mengambil kira harga barangan dijual, kualiti perkhidmatan, suasana atau persekitaran premis dan peragaan barangan untuk kemudahan pengguna.

Kategori dipertandingan adalah barangan pengguna, makanan, keterampilan, gajet, informasi dan pasaraya. Tahun ini pengguna berpeluang untuk mengundi kedai pilihan mereka dan menyokong 50 peratus pemarkahan keseluruhan penilaian.

No comments: