Tuesday, March 12, 2013

Jahitan ubah kehidupan Sumathi

KUALA LIPIS 11 Mac - Menceburi bidang keusahawanan merupakan satu rahmat kepada seorang tukang jahit, V.Sumathi, 31, apabila mampu meningkatkan pendapatan keluarga berbanding bekerja dengan sebuah syarikat swasta di sini.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20130312/wp_06/Jahitan-ubah-kehidupan-Sumathi
Published: March 12, 2013


Pemilik butik dan kedai jahitan Program Empower, 
V. Sumathi menunjukkan pakaian hasil jahitannya di 
Pekan Benta, Kuala Lipis, baru baru ini.

Sumathi yang kini memiliki kedai sendiri iaitu Collection Boutique yang terletak di Pekan Benta di sini terharu kerana kursus jahitan yang diikuti di bawah kendalian program Empower anjuran Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) benar-benar mengubah kehidupannya.

Katanya, sebelum menyertai kursus tersebut, dia bekerja dengan sebuah syarikat swasta di Benta dengan memperoleh pendapatan RM400 sebulan.

"Saya nekad berhenti kerja dan mengikuti kursus jahitan dengan Empower. Selepas itu saya menceburi bidang perniagaan dan gembira kerana memperoleh pendapatan RM2,000 sebulan berikutan ramai pelanggan datang ke sini untuk menempah baju," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurutnya, semasa bekerja makan gaji dahulu, gaji yang diperoleh tidak cukup menampung belanja sewa rumah, keperluan dapur dan persekolahan kerana suaminya hanya bekerja sebagai pemandu lori.

"Saya kemudiannya menjalani motivasi kendiri mengenai cara mengubah kehidupan melalui Program Empower dan mengikuti kursus keusahawanan bidang jahitan selama enam bulan di bandar Kuala Lipis," katanya.
Katanya, dia gembira kerana berkat kesabaran dan komitmen untuk mengorak langkah dalam bidang usahawan, dia berjaya mengubah kehidupan keluarganya.

No comments: