Thursday, November 1, 2012

Jadi usahawan Super

SEBELUM mengambil keputusan untuk memulakan perniagaan, apa antara perkara pertama yang anda akan fikirkan? Modal? Kekayaan yang bakal dikaut? Atau risiko yang bakal dihadapi?

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121031/ke_01/Jadi-usahawan-Super
Published: November 01, 2012

Shahabudeen Jalil Kamarul Jaman (berdiri) juga berpengalaman luas mengadakan kursus perniagaan memborong ke China.

SEBELUM mengambil keputusan untuk memulakan perniagaan, apa antara perkara pertama yang anda akan fikirkan? Modal? Kekayaan yang bakal dikaut? Atau risiko yang bakal dihadapi?
Dalam satu kaji selidik yang dilakukan oleh Anzac Consultancy, sebuah perunding perniagaan tempatan, daripada 14,000 responden terlibat, 8,000 mengatakan modal adalah halangan untuk memulakan perniagaan.

Tidak kira apa juga rancangan anda tentang perniagaan betulkan dulu mana persepsi yang salah. Ini kerana, perniagaan yang dijalankan dengan niat yang baik pasti ada keberkatannya.
Pengarah Urusan Anzac Consultancy, Shahabudeen Jalil Kamarul Jaman berkongsi pengalaman beliau dan berani mengatakan modal bukanlah halangan untuk memulakan perniagaan.

"Modal bukan hanya berbentuk duit, bahkan kaki, tangan atau mulut individu itu sendiri juga adalah 'modal'.
"Contohnya, seperti membuka kelas tuisyen di rumah. Hanya perlu kumpulkan pelajar, mula mengajar dan keuntungannya sudah boleh diraih pada hujung bulan," ujar Shahabudeen membuka rahsia.

Beliau juga mengakui berdepan dengan ramai usahawan yang masih belum membetulkan cara berfikir (mindset) sebelum berniaga.
Menurut Shahabudeen, masih ramai usahawan yang mempunyai tanggapan bahawa kekayaan perniagaan boleh menyebabkan mereka menjadi takbur dan bongkak.

Natijahnya ramai usahawan mengambil pendekatan untuk 'bersyukur' dengan apa yang ada tanpa ada cita-cita untuk mendapat kekayaan lebih lagi.
"Saya mahu membetulkan cara pemikiran usahawan Melayu yang mana mereka perlu berfikir bahawa 'kaya itu baik, miskin itu tidak baik'.

" Kita sendiri boleh melihat, apabila kita kaya, kita dapat lebih beramal, membantu golongan yang memerlukan. Bukankah itu lebih baik daripada menjadi 'biasa-biasa' saja?," ujarnya penuh semangat.
Shahabudeen berkata, konsep syukur dengan apa yang ada bukan sesuatu yang salah cuma perlu diseimbangkan.
Malah beliau juga mahu orang ramai menilai kebanyakan kes jenayah berlaku apabila kemiskinan dan kesempitan hidup melanda.

Jadi atas teori ini, Shahabudeen mahu usahawan melihat betapa kaya itu lebih baik daripada miskin.
"Atas hasrat yang sama juga saya berusaha membentuk satu modul keusahawanan yang saya namakan Usahawan Super.

"Modul ini saya akan bentangkan melalui beberapa Seminar Usahawan Super yang akan saya anjurkan.
"Melalui seminar ini saya mahu membuka minda dan mahu usahawan sendiri berfikir secara praktik. Selain itu saya mahu memberi pendedahan kepada individu dan masyarakat ilmu perniagaan secara menyeluruh.
"Dari segi mental kami akan melatih seseorang itu menjadi usahawan dengan cara menanam sikap positif terhadap kekayaan dan kental terhadap cabaran yang akan datang.

" Manakala dari segi fizikal pula, peserta akan dilatih dengan kemahiran penting seperti menjual, memborong, teknik meletakkan harga, teknik menawan hati pelanggan, teknik membuat jualan efektif dan pelbagai kemahiran lain yang wajib diketahui oleh mereka yang bergelar usahawan," jelasnya.

Menurut Shahabudeen lagi, ramai yang tidak berjaya menjadi usahawan kerana gagal daripada aspek rohani.
Sehubungan itu dalam kursus ini, beliau akan melatih usahawan dan bakal usahawan ciri-ciri kerohanian yang perlu ada dalam diri seperti cara bersyukur, bertindak dengan ikhlas, memohon kemaafan dan mengingati mati.

"Semua ciri-ciri ini sebenarnya sangat penting bagi seseorang untuk berjaya dan mengejar kejayaan. Rahsia ini tidak diketahui oleh usahawan dan rakyat biasa.
"Dalam seminar ini juga kami akan mengajar usahawan supaya tidak mempercayai ilmu karut-marut," ujar Shahabudeen.

Usahawan Super adalah kursus asas usahawan yang mensasarkan mereka yang bekerja makan gaji dan yang ingin memulakan perniagaan.

Menurut Shahabudeen, golongan usahawan memang sentiasa mempunyai minat yang tinggi dalam bidang keusahawanan namun mereka juga golongan yang mudah terperangkap dengan penipuan perniagaan yang banyak berlaku di dalam dunia realiti perniagaan hari ini.

"Kursus ini merupakan satu modul yang amat lengkap dan terbaik untuk seseorang dalam melatih diri menjadi usahawan yang berjaya dan unggul.

"Kursus ini terdapat empat bahagian utama yang menjadi kekuatan bagi seseorang usahawan itu menjadi 'super' iaitu kekuatan rohani, mental dan fizikal," ujarnya.

No comments: