Wednesday, June 19, 2013

Prestasi Koridor Pembangunan Sabah Memberangsangkan - Yang Dipertua Negeri Sabah

KOTA KINABALU, 17 Jun (Bernama) -- Prestasi pencapaian Koridor Pembangunan Sabah (SDC) yang memasuki fasa kedua dari 2011 hingga 2015 adalah memberangsangkan dan mencatat momentum pertumbuhan yang memuaskan.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=956651
Published: Jun 19, 2013

Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin berkata, setakat ini, 11 projek swasta berkeutamaan dan berimpak tinggi, yang mendapat kelulusan peruntukan kerajaan sebanyak RM1.7 bilion, sedang dilaksanakan.

"Pada keseluruhannya, jumlah pelaburan bagi projek-projek SDC setakat penghujung tahun 2012 adalah berjumlah RM14.5 bilion.

Selain itu, SDC akan meningkatkan usaha untuk memperbanyakkan aktiviti bernilai tambah melalui kerjasama dengan syarikat-syarikat global dan pengukuhan industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan," katanya di sini Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar kerajaan sempena pembukaan rasmi penggal pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-14 di Likas.

Juhar berkata kerajaan negeri juga akan mempergiatkan lagi usaha untuk menarik lebih banyak pelaburan swasta di negeri ini, di samping menyediakan kemudahan-kemudahan infrastruktur dan modal insan yang berkemahiran tinggi khusus untuk pembangunan SDC.

Bagi sektor pembuatan, katanya, pada tahun ini, sektor itu menyasarkan nilai pelaburan RM5.44 bilion bagi mencapai penyediaan kemudahan infrastruktur di kawasan-kawasan perindustrian yang akan terus dipertingkatkan.

Beliau berkata tumpuan ke atas pembangunan industri kluster seperti Kelompok Industri Minyak Sawit (POIC) di Lahad Datu dan Sandakan, Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) dan kelompok bersepadu di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).

"Daripada sasaran pelaburan RM5.44 bilion itu, RM2.5 bilion dijangka dapat direalisasikan di SOGIP, RM1 bilion di KKIP, RM415 juta di POIC Lahad Datu, RM328 juta di POIC Sandakan dan manakala sebanyak RM1.2 bilion dari pelbagai pelaburan dalam sektor pembuatan," katanya.

Selain itu, katanya, minyak dan gas merupakan penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan sektor ini dijangka terus berkembang lebih pesat lagi dengan penemuan kawasan-kawasan minyak yang baru di pesisiran perairan negeri Sabah.

"Adalah dijangkakan sektor ini boleh menarik pelaburan bernilai lebih RM30 bilion. Projek-projek hiliran dan huluan ini akan terus diberikan tumpuan dan galakan yang serius," katanya.

Juhar berkata negeri Sabah telah menjadi destinasi yang mampu menarik pelabur-pelabur tempatan dan juga luar negeri berikutan dengan tadbir urus dan rekod pengurusan kewangan negeri yang baik dan integriti yang mantap telah memberikan keyakinan yang tinggi kepada para pelabur.

Beliau berkata kini negeri Sabah telah melonjak menduduki tempat ketiga selepas negeri Selangor dan Johor dari segi nilai pelaburan dalam sektor pembuatan sepanjang tahun 2012.

Di samping itu, Kerajaan akan terus memberi galakan dalam pembangunan industri ruminan di negeri ini memandangkan biomas dan sumber makanan yang tersedia serta status negeri Sabah yang bebas daripada penyakit kuku dan mulut.

Menurutnya, kerajaan akan terus mempergiatkan lagi Program-program pembasmian kemiskinan di negeri ini seperti Mini Estet Sejahtera (MESEJ), Program Peningkatan Ekonomi Setempat (PPES), Ladang Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) kerana program ini dapat membantu meningkatkan pendapatan rakyat di negeri ini.

"Keberkesanan pelbagai program pembasmian kemiskinan yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan telah mendatangkan impak yang positif dalam meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup golongan sasar.

Kadar kemiskinan negeri Sabah pada tahun 2012 telah berjaya dikurangkan kepada 8.1 peratus berbanding 19.7 peratus pada tahun 2009," katanya.

Sementara itu, katanya, kerajaan negeri juga akan terus mempergiatkan usaha untuk meningkatkan kadar penembusan jalur lebar terutama di kawasan luar bandar di negeri ini untuk melahirkan generasi masyarakat yang lebih celik ICT di masa hadapan.

Sehubungan itu, beliau meminta komitmen dan kerjasama semua pihak khasnya agensi-agensi pelaksana program pembangunan membelanjakan sumber peruntukan yang disediakan secara berhemah bagi memastikan wang rakyat yang dibelanjakan menepati konsep nilai bagi wang di mana setiap sen yang dibelanjakan memberikan manfaat kepada rakyat serta sampai kepada golongan sasar.

-- BERNAMA 

No comments: