LELAKI ini masih muda. IUsianya baharu menjengah 37 tahun. Kata orang Indonesia, masih ganteng! Namun, dia pernah menghadapi saat yang sukar dalam hidupnya apabila terpaksa membuat beberapa pilihan yang keputusan akhir bakal merubah hidupnya. Demikianlah secebis kehidupan insan di atas muka bumi yang tidak pernah sunyi daripada diuji.
Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130627/ba_02/Wan-tauke-santan
Published: Jun 28, 2013
Wan Mohd. Salleh Mohd. Sulong tidak akan pernah melupakan
pihak-pihak yang telah membantunya sehingga berada di tahap membanggakan kini.
Di sebalik wajah yang berpeluh dan keletihan, Wan Mohd. Salleh Mohd. Sulong, ceria menerima kehadiran saya dan teman-teman Lembaga Zakat Selangor (LZS) ke rumahnya di Kuala Selangor.
Di pinggiran jalan besar, dilatari dengan beberapa batang pohon
kelapa dan longgokan-longgokan sabut dan tempurung kelapa, sebenarnya
sudah cukup buat menzahirkan apakah pekerjaannya.
"Saya mengusahakan santan ini masih baru. Sekitar setahun lalu saya
mencuba pasaran terlebih dahulu. Kala itu, saya mengambil santan
daripada seorang teman.
"Alhamdulillah, berkat teknik pemasaran yang betul, ternyata pasaran
santan kelapa ini memang ada dan produk santan saya mendapat sambutan.
Kemudian, saya menyewa sebuah mesin pemerah santan daripada orang lain
dan mula menghasilkan santan sendiri," kata Wan Mohd. Salleh.
Seorang yang murah dengan senyuman, nyata dia bukan baharu sehari dua
berjinak-jinak dengan dunia perniagaan. Dia ada pengalaman luas
mengusahakan kedai makan.
"Saya mempunyai kelulusan Diploma Kulinari dan Katering dari sebuah
institusi pendidikan swasta. Sebelum ini juga, saya mengusahakan sebuah
restoran selama 11 tahun di Sepang, Selangor.
"Malangnya, atas sebab-sebab tertentu, semasa dalam proses perceraian
dengan bekas isteri, restoran itu terpaksa dilepaskan. Malah, rumah
yang saya beli dengan harga lebih RM100,000 juga saya korbankan kerana
ia dikira sebagai harta sepencarian," kata Wan Mohd. Salleh.
Ternyata, sulitnya sebuah perpisahan walaupun bagi seorang lelaki
yang dianggap punyai kekuatan. Wan memilih untuk berpisah, lantaran
masalah yang menimpa rumah tangganya kian sukar untuk dirungkai.
Dalam kemelut perpisahan itulah, dia akhirnya tega memilih anak
angkatnya, Nur Ain, 6, sebagai galang ganti. Baginya, wang boleh dicari
ganti, namun anak adalah buah hati yang mendamaikan diri.
Lewat perpisahan tahun 2011 itu Wan Mohd. Salleh mencuba menyibukkan
dirinya dengan bekerja. Dia pernah menjadi pengurus di sebuah syarikat,
namun tidak betah bertahan lama dan akhirnya dia kembali menganggur.
Kala itu, hidupnya bergantung kepada wang simpanan. Dia juga tinggal di rumah ibu, maka tidak perlulah bayar sewa.
"Saya tidak mahu menjadikan alasan duduk di kampung untuk
bermalas-malasan. Tidak berapa lama selepas berhenti kerja, saya mencuba
berniaga, iaitu menjual santan. Siapa tahu, tuah saya ada di kampung
sendiri," jelasnya.
Menurutnya, biarpun perniagaan santan kelapa mempunyai banyak
persaingan, pun begitu kebijaksanaan dalam meletakkan harga produk boleh
meraih perhatian pelanggan.
Dia optimis, kerana strategi perniagaannya menjadi. Malah, santannya mendapat sambutan tinggi.
"Saya sangat yakin. Maka, pada tahun lepas, saya diperkenalkan kepada
LZS, saya tidak mahu melepaskan peluang ini untuk merubah diri.
"Malah, saya berjanji kepada diri saya sendiri, saya tidak mahu
selamanya bergantung kepada LZS. Saya hanya mahu menjadikan LZS sebagai
'batu loncatan' agar dapat pergi lebih jauh," tegasnya bersemangat.
Ternyata Wan Mohd. Salleh benar-benar mengotakan janjinya. Setelah
menerima bantuan modal perniagaan sebanyak RM29,100 daripada LZS, dia
merancakkan lagi perniagaannya.
"Bagaikan mati hidup semula. Itulah perasaan saya apabila LZS
memberikan modal tersebut. Bayangkan, dahulu saya hanya menyewa mesin,
kini semuanya milik saya sendiri.
"Semua mesin yang ada di rumah ini iaitu dari mengopek kelapa,
memarut, memerah dan peti ais semuanya adalah dari LZS. Malah saya juga
menerima modal tunai. Untuk semuanya, saya amat menghargainya," akui
Wan.
No comments:
Post a Comment