Sunday, June 16, 2013

Pusat jual-jualan barangan terpakai - Pontian

PONTIAN 13 Jun - Simpang Empat Benut kini begitu sinonim dengan pusat penjualan pelbagai barangan terpakai atau second hand yang mula beroperasi mulai pukul 9 malam hingga 2 pagi.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Johor/20130614/wj_01/Pusat-jual-jualan-barangan-terpakai
Published: Jun 16, 2013


Pusat perniagaan jualan barangan terpakai di Simpang Empat Benut, 
Pontian yang mula mendapat perhatian daripada pengunjung tempatan dan luar Johor.

Pelbagai barangan dengan harga serendah RM1 hingga ratusan ringgit yang dibawa khas dari Singapura dijual di sini bagi memenuhi permintaan pelbagai lapisan masyarakat.

Antara barangan tersebut termasuk kasut, barangan elektrik, pakaian, langsir, pinggan mangkuk, basikal, permainan kanak-kanak, beg tangan dan aksesori wanita yang sentiasa memeriahkan suasana malam di kawasan perniagaan tersebut sejak sedekad lalu.

Menurut pengasas pusat perniagaan tersebut, Ali C. Ain, 45, sambutan yang diberikan oleh orang ramai telah menyuntik semangatnya dan lima peniaga lain untuk terus berusaha mempelbagaikan barangan pada setiap masa.

Katanya, permintaan barangan terpakai berjenama seperti produk kulit dan kasut terus menjadi daya tarikan orang ramai terutamanya pada hujung minggu dan cuti umum.

Para peniaga akan mengambil barangan di Singapura pada Ahad dan Rabu bagi memastikan kedai mereka sentiasa menawarkan 'barangan panas' yang menjadi rebutan ramai.

"Kedai kami merupakan penyeri malam bagi Simpang Empat Benut yang menjadi laluan penting keluar dan masuk ke Lebuh Raya Utara-Selatan.

"Kini keadaan semakin meriah dengan adanya Pusat Perdagangan Baharu Benut, sekali gus menyumbang kepada suasana malam yang lebih menarik selepas mereka pergi membeli-belah mahupun selepas makan malam," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Ali memberitahu, perniagaan mereka turut menarik perhatian masyarakat di luar Pontian yang memberikan sokongan dengan sama-sama turun ke Simpang Empat sebelum meninggalkan tanah di penghujung benua Asia itu.

Pembeli katanya, tidak perlu bimbang kerana para peniaga bersedia memberikan harga berpatutan dengan nilai barangan dijual agar mereka tidak merasa hampa apabila berkunjung ke sini.

"Jangan merasa segan dan malu untuk membeli barangan terpakai ini yang sebenarnya masih boleh digunakan mengikut kesesuaian seperti basikal kanak-kanak, basikal orang dewasa, radio, televisyen, periuk nasi dan sebagainya," katanya.

Bagi Abd. Latif Rostam, 64, yang telah 20 tahun menjual pelbagai barangan terpakai di situ, sambutan diberikan penduduk amat membanggakan.

Menurutnya, pusat perniagaan tersebut mudah ditemui memandangkan terletak di persimpangan yang menjadi laluan dari Simpang Renggam dan Batu Pahat ke Pontian sebelum ke Johor Bahru.

Dia yakin masih ada pelanggan berminat untuk membeli produk terpakai termasuk barangan elektrik yang masih boleh berfungsi dengan baik sekiranya pandai memilih.

"Kami sentiasa mengalu-alukan kehadiran orang ramai yang ingin mendapatkan pelbagai barangan termasuk yang 'antik'.

''Walaupun kini terdapat banyak tempat menjual barangan terpakai, namun Simpang Empat Benut tetap mempunyai tarikan tersendiri memandangkan kedudukannya yang strategik bagi menarik orang ramai," katanya.

Sementara itu, seorang pelanggan, Norazuan Abu, 33, mengakui kerap mengunjungi pusat perniagaan itu bagi mendapatkan barangan yang masih elok dan 'baharu tiba' seperti kasut, barangan elektrik dan permainan kanak-kanak.

"Ada barangan yang masih cantik dan molek dipakai seperti kasut sukan, kasut untuk bekerja dengan harga yang mungkin tidak mampu dibeli ketika di luar, namun di sini boleh dibeli dengan harga RM15 hingga RM40," katanya.

Bagi Ishak Abu Bakar, 42, kawasan jualan tersebut seolah-olah telah menjadi tempat wajib persinggahan baginya apabila berada di situ.

"Tidak semua masyarakat luar bandar seperti kami ini mampu membeli barang baharu, namun dengan adanya pusat seperti ini memberikan kami banyak pilihan untuk membelinya mengikut kemampuan masing-masing," katanya.

Minda Jalin, 25, pekerja sebuah kilang di Rengit pula sering berkunjung bersama rakan-rakannya bagi mendapatkan barangan keperluan harian diminati seperti beg tangan, barangan elektrik dan kelengkapan dapur yang masih boleh digunakan memandangkan harga yang ditawarkan adalah cukup 'menarik' berbanding yang baharu.

Dia mengakui pusat perniagaan Simpang Empat Benut mudah dikenali serta kelihatan 'hidup' pada waktu malam hingga awal pagi kerana masih dikunjungi oleh ramai pelanggan.

Jailani Munajat, 50, juga tidak akan melepaskan peluang untuk singgah ke tempat tersebut sambil melihat barangan yang dijual serta bertemu pelbagai lapisan masyarakat.

Menurutnya, kehadiran ramai pengunjung dari Melaka, Kuala Lumpur, Muar, Batu Pahat dan Johor Bahru ke Pontian juga tidak ketinggalan melihat suasana malam di Pekan Benut.

"Kawasan ini juga bolehkan dikatakan sebagai mini uptown Benut yang menawarkan pelbagai barangan terpakai termasuk perabot yang masih cantik dan elok digunakan," katanya.

No comments: