Monday, June 3, 2013

Pesta Makanan Halal Malaysia-Xi'an Dijangka Tarik Lebih 100,000 Pelawat

XI'AN, 3 Jun (Bernama) -- Pesta Makanan Halal Malaysia-Xi'an ke-dua dijangka menarik lebih 100,000 pelawat melawat pameran selama 12 hari yang bermula Jumaat itu. Tahun lepas, kira-kira 50,000 pelawat melawat pameran berkenaan, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Asas Tani (MOA) Datuk Mohd Hashim Abdullah.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=953593
Published: Jun 03, 2013

Source from (The Malaysian Insider): http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pesta-makanan-halal-malaysia-xian-dijanga-tarik-lebih-100000/
Published: Jun 03, 2013


Enak dimakan...Pelawat-pelawat China tertarik dengan ketulan 

ikan (fish nuggets) dan bebola sotong (squid balls) yang dipamerkan
 di Pesta Makanan Halal Malaysia-Xi'an ke-2 di China. Seramai 35 
orang usahawan Malaysia mengambil bahagian dalam pameran 12 
hari itu yang diadakan di 'Muslim Street', Xi'an, China.  

Katanya sambutan yang dijangka baik itu adalah hasil sokongan para pengusaha.

Tahun ini, terdapat 55 gerai mengambil bahagian di mana 35 daripadanya adalah milik usahawan Malaysia manakala 20 lagi dari Daerah Lian Hu, di sini berbanding dengan hanya 20 usahawan Malaysia mengambil bahagian pada tahun lepas.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas perasmian Pesta Makanan Halal Malaysia-Xi'an ke-dua di "Muslim Street" di sini Ahad.

Acara itu bertujuan mempromosikan budaya dan makanan Malaysia dan untuk memperkenalkan peluang perniagaan yang terdapat di Malaysia.

Mohd Hashim berkata 359 produk dari Malaysia telah diperkenalkan di sini pada pameran tahun ini berbanding dengan hanya 123 pada tahun lepas.

"Tahun ini, kami dapat membawa masuk lebih banyak produk, yang termasuk buah-buahan dari Malaysia seperti nangka, durian dan nenas.

Masyarakat beragama Islam, kira-kira 50,000 orang, adalah minoriti terbesar tinggal di Xi'an, daripada 81,500 orang dari pelbagai kumpulan minoriti.

Sementara itu, pelawat China di sini kini telah tertarik dengan makanan Malaysia yang disediakan di pameran ini.

Seorang pemandu pelancong, Chen Caiyan, 36, melahirkan rasa terujanya terhadap kepelbagaian makanan Malaysia yang dipamerkan di sini.

"Saya pertama kali mencuba "white coffee" Malaysia pada 2003, dan apabila ramai pelancong Asean melawat Xi'an beberapa tahun kebelakangan ini, ramai daripada mereka telah membawakan saya white coffee," katanya.

Selain itu, Chen turut membeli beberapa botol cili dan filet di sini.

Seorang surirumah, Liu Xilin, 56, pula menggemari durian goreng (yang dicampur tepung, durian dan beras pulut) selepas mencubanya di pameran itu.

"Saya pernah mencuba makan durian tetapi bukan yang digoreng. Ia istimewa dan berbau sedap." katanya.

-- BERNAMA 

No comments: