KOTA KINABALU, 13 Jun (Bernama)-- Kerajaan Sabah komited untuk membantu
usahawan bumiputera menjadi kontraktor yang benar-benar berjaya dan
berwibawa, kata Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan
Teknologi Maklumat Negeri Datuk Hamisa Samat.
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=955955
Published: Jun 14, 2013
Beliau berkata sehingga bulan ini, seramai 1,184 peserta telah menyertai
kursus kontraktor berbanding 1,038 orang dalam tempoh yang sama tahun
lepas.
Hamisa berkata kerajaan turut menyediakan pelbagai kemudahan dan
keistimewaan bagi menggalakkan penyertaan bumiputera dalam bidang
perdagangan dan perindustrian.
"Antara sumber yang digunakan agar terus kekal dalam bidang ini ialah
modenisasi sistem kerja yang melibatkan peningkatan teknologi,
pembangunan sistem maklumat urus niaga yang cekap, pengukuhan sumber
manusia, peningkatan kualiti kerja serta mengutamakan pelanggan,"
katanya.
Hamisa berkata demikian dalam ucapannya sempena majlis penutupan kursus kontraktor kerja kejuruteraan awam, di sini Khamis.
Katanya, kursus itu diharap dapat melahirkan lebih ramai kontraktor Bumiputera yang berwibawa.
"Setiap ahli kontraktor memikul tanggungjawab dan amanah yang besar
bagi menjayakan matlamat kerajaan untuk mewujudkan masyarakat
perdagangan dan perindustrian yang berdaya maju, berdaya tahan dan
berdaya saing dalam tempoh Dasar Pembangunan Nasional.
"Mereka juga perlu memastikan projek yang diagih disiapkan dengan baik
dan meningkat dari segi modal syarikat dan bilangan kakitangan
profesional," katanya sambil menyeru para kontraktor supaya
mempelbagaikan kepakaran dalam pelbagai jenis perniagaan atau bidang
yang diceburi.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment