Sunday, June 16, 2013

Lebih 150 Program Untuk 465,000 PKS Tahun Ini

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Sebanyak 155 program, dengan komitmen kewangan berjumlah RM18.4 bilion telah dilaksanakan tahun ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Jumaat.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=956093
Published: Jun 16, 2013

Program berkenaan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 465,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kata beliau dalam ucaptama pada Pameran Tahunan PKS (SMIDEX) 2013 di sini.

"Jumlah ini merupakan peningkatan daripada 133 program yang dilaksanakan tahun lepas melibatkan kira-kira RM7 bilion dan memberi faedah kepada lebih 430,000 PKS di seluruh sektor," kata Najib dalam teks ucapannya itu yang dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

SMIDEX 2013, pameran PKS terbesar Malaysia, menjana jualan lebih RM300 juta, menyediakan sekurang-kurangnya 150 sesi padanan perniagaan.

"Peningkatan dalam peruntukan tahun ini, termasuk RM8 bilion pembiayaan sektor swasta, adalah permulaan yang kukuh bagi ekonomi yang diterajui sektor swasta yang kita impikan untuk Malaysia.

"Kerajaan menjadi lebih kepada sebagai fasilitator dan pengantara, dan sektor swasta mengambil peranan," kata Najib.

Perdana Menteri berkata sektor PKS yang dinamik penting untuk kejayaan ekonomi sesebuah negara dalam ekonomi dunia yang tidak menentu dan kompetitif.

Beliau berkata untuk memanfaat sepenuhnya daripada peralihan ini, dan untuk kekal berdaya saing dalam ekonomi yang berkait di peringkat global, PKS perlu memadankan sokongan kerajaan dengan pelaburan mereka sendiri, untuk meningkatkan kecekapan, mengurangkan kos pengeluaran dan meningkatkan reputasi serta imej jenama produk mereka.

-- BERNAMA 

No comments: