Sunday, June 16, 2013

Isu TPP: MTEM bidas sikap Miti

MAJLIS Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) membidas sikap tidak prihatin Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) terhadap persoalan yang dibangkitkan dalam rundingan terbaru kedua-dua pihak berhubung isu Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPP).

Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/isu-tpp-mtem-bidas-sikap-miti-1.171495
Published: Jun 16, 2013

Mohd Nizam Mahshar
           Mohd Nizam Mahshar

Ketua Pegawai Eksekutif MTEM Mohd Nizam Mahshar berkata, pertemuan kedua yang dianjurkan oleh Miti selepas MTEM membangkitkan permasalahan dalam TPP  itu hanyalah 'satu jenaka’.

“Matlamat utama pertemuan kelmarin adalah untuk menjelaskan tuntutan dibangkitkan MTEM semasa pertemuan pertama. Malangnya, wakil Miti gagal memberi penjelasan dan menjawab soalan kami.

"Miti juga tidak memberikan sebarang jawapan kukuh terhadap isu yang dibangkitkan, termasuk kesan TPP ke atas perusahaan kecil dan sederhana serta bekalan ubat-ubatan," katanya semasa ditemui di pejabat MTEM, semalam.

Menurut Mohd Nizam, MTEM akhirnya memutuskan untuk menamatkan mesyuarat itu lebih awal kerana gagal mencapai kata sepakat berhubung pendekatan rundingan.

Pertemuan pertama antara kedua pihak diadakan bersama Menteri Miti, Datuk Seri Mustapa Mohamed pada 31 Mei lalu.

Mohd Nizam berkata, Miti mendakwa sesi rundingan dengan semua pihak seperti badan bukan kerajaan dan pemain industri telah diadakan namun beliau menegaskan pertemuan itu tidak menepati konsep rundingan sebenar.

“Miti tidak memberi sebarang maklumat mengenai TPP kerana mereka kata, butiran perbincangan dengan negara lain adalah rahsia. Jadi bagaimana Miti kata mereka adakan rundingan jika mereka enggan mendedahkan sebarang maklumat?,” soalnya.

Perjanjian TPP dijangka ditandatangani semua negara terlibat pada Oktober ini.
Miti adalah wakil perunding bagi Malaysia dalam rundingan TPP antara 11 negara termasuk Amerika Syarikat (AS). Sebelum ini, Miti memaklumkan butiran perjanjian itu tidak didedahkan kepada umum kerana negara terlibat terikat dengan perjanjian kerahsiaan.
MTEM sebelum ini mendesak kerajaan menarik diri daripada rundingan itu yang dikhuatiri memberi impak negatif kepada ekonomi, sosial dan kedaulatan negara termasuk mengubah dasar industri kecil dan sederhana dan harta intelek serta meningkatkan kos perubatan.

Mohd Nizam juga sebelum ini berkata, TPP adalah satu bentuk penjajahan ekonomi yang bakal memberi kesan buruk kepada setiap rakyat negara ini.

Selain Malaysia dan AS, negara terlibat dalam rundingan ini adalah Australia, Brunei, Kanada, Chile, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

Miti semasa dihubungi memaklumkan akan memberi maklum balas berhubung dakwaan MTEM ini dalam masa terdekat.

No comments: