MELAKA 7 Jun - Sebanyak 40,000 biji kelapa tua disediakan sebagai
bekalan bagi menampung keperluan bahan tersebut di negeri ini menjelang
bulan puasa dan Aidilfitri tidak lama lagi.
Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Selatan/20130608/ws_04/Usahawan-muda-bekal-40000-kelapa-tua-menjelang-bulan-puasa-hari-raya
Published: Jun 08, 2013
MOHAMMAD Affiq Azemi (kanan) dan Solihin Mohd. Jamil menunjukkan
kelapa tua yang dipasarkan oleh syarikat mereka di Tanjung Minyak, Melaka,
semalam bagi memenuhi permintaan pengguna sepanjang bulan Ramadan
dan Syawal ini.
Seorang usahawan muda, Muhammad Affiq Azemi, 23, berkata,
kesemua bekalan tersebut disediakan bagi memenuhi permintaan pengguna
yang akan meningkat lebih-lebih lagi pada musim berkenaan.
Menurutnya, bekalan kelapa tua atau kelapa kukus yang merupakan bahan
asas kepada masakan Melayu serta kuih muih itu amat perlu memandangkan
Melaka masih kekurangan pembekal bagi bahan tersebut.
"Kebanyakan pembekal di negeri ini mendapatkannya dari luar dan ini
merumitkan para peniaga kecil dan sederhana yang mahu mendapatkannya
dalam kuantiti sedikit.
"Oleh yang demikian, kami mengambil inisiatif menjadi pelopor bagi
membekalkan kelapa tua di negeri ini yang secara tidak langsung dapat
memenuhi permintaan dalam kalangan pemborong serta pengguna termasuk
dari Negeri Sembilan," katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui di pusat edaran kelapa terbesar
negeri di alamat Lot 1419, Batu 7 1/2 Kampung Bukit Datuk B, Tanjung
Minyak, di sini hari ini.
Muhammad Affiq dan rakan kongsinya, Solihin Mohd. Jamil, 21,
merupakan pemilik bersama syarikat pembekal kelapa tua iaitu SNA Trading
Enterprise Sdn. Bhd.
Jelas Muhammad Affiq, dia memilih untuk menjadi pembekal kelapa tua
terbesar di negeri ini memandangkan masih belum banyak syarikat
Bumiputera yang berkecimpung dalam bidang tersebut.
"Pasaran kelapa tua ini mempunyai potensi besar kerana permintaannya
tidak pernah putus malah makin meningkat terutamanya menjelang
musim-musim perayaan," katanya.
Sementara itu, Solihin memberitahu, 40,000 biji kelapa tua itu adalah
untuk kegunaan sebulan di negeri ini dan akan ditambah dari semasa ke
semasa berdasarkan permintaan.
No comments:
Post a Comment