Friday, June 28, 2013

Kerajaan Beri Tumpuan Sektor PKS Untuk Bantu Pertumbuhan Ekonomi Sabah

KOTA KINABALU, 27 Jun (Bernama) -- Kerajaan akan terus memberi tumpuan dan bantuan kepada sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Sabah bagi memastikan sektor itu terus membangun dan berjaya, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=959248
Published: Jun 28, 2013

Beliau berkata ini kerana kerajaan sedar bahawa PKS memainkan peranan yang penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi.

Ia juga memberikan sumbangan yang signifikan kepada peningkatan sosioekonomi rakyat dari segi penyediaan peluang-peluang pekerjaan, perniagaan, menjana pendapatan dan seterusnya melahirkan lebih ramai usahawan yang berjaya, katanya.

Musa, yang juga Menteri Kewangan Negeri berkata demikian di dalam teks ucapannya sempena majlis perasmian Karnival SME Sabah 2013 di Pusat Perdagangan Sabah di Likas, dekat sini hari ini.

Teks ucapannya dibacakan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Radin Malleh. Yang turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian Negeri Datuk Bolkiah Ismail yang mewakili menterinya Datuk Raymond Tan.

Pada peringkat negeri, Musa berkata sektor PKS turut diberikan tumpuan melalui pelbagai program di bawah pelaksanaan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) yang dirancang dan dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA).

Selain itu, katanya, Yayasan Sabah, salah satu agensi kerajaan negeri, berperanan membantu Kementerian Pembangunan Perindustrian dan jabatan serta agensi kerajaan yang lain dalam pembangunan PKS.

"Saya percaya sektor PKS ini akan berkembang lebih pesat dengan terbinanya Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) kelak," katanya.

Musa yakin dengan adanya kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan, ia akan dapat mewujudkan serta mengembangkan prospek dan potensi PKS di negeri ini.

Bagaimana pun, PKS di Sabah perlu lebih kreatif dan inovatif dalam menghasilkan produk berkualiti dan bertaraf antarabangsa yang kompetitif, serta memenuhi kehendak dan piawaian antarabangsa, katanya.

Beliau turut menyambut baik pelbagai langkah dan inisiatif kementerian, agensi dan badan berkanun seperti SME Corp yang banyak membantu membangunkan PKS di Sabah.

Pada masa yang sama, Musa menyeru semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan untuk meningkatkan usaha dan program masing-masing bagi membantu dan membangunkan industri PKS.

-- BERNAMA

No comments: