Friday, June 21, 2013

Tawar francais A&W kepada usahawan - KUB

Petaling Jaya: KUB Malaysia Berhad (KUB) dijangka menawarkan skim francais restoran makanan segera A&W kepada usahawan tempatan tidak lama lagi.

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/TawarfrancaisA_Wkepadausahawan/Article/index_html
Published: Jun 21, 2013

Pengarah Urusan Kumpulan KUB, Datuk Wan Mohd Nor Wan Ahmad berkata, kumpulan akan mengadakan rundingan dengan syarikat induk A&W, A Great American Brand LLC untuk mendapatkan lesen francais utama restoran itu sebelum akhir tahun ini.

“Kami merancang untuk membuka peluang kepada usahawan tempatan khususnya Bumiputera mengendalikan restoran A&W supaya dapat turut serta meraih manfaat daripada revolusi baru operasi rangkaian restoran makanan segera tertua di Malaysia ini,” katanya.

Menurutnya, pemilikan lesen francais utama itu juga secara tidak langsung membantu mengembang dan mengukuhkan semula kedudukan perniagaan dan operasi rangkaian restoran itu di pasaran tempatan.

“Perniagaan restoran makanan segera A&W di bawah segmen perniagaan makanan KUB kini kembali mencatatkan keuntungan pada suku pertama tahun ini selepas sekian lama mengalami kerugian.

“Kami melihat ia sebagai satu perkembangan positif hasil transformasi yang dibuat kumpulan pengurusan baru dan ini sudah tentu menawarkan prospek keuntungan kukuh pada masa depan,” katanya selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) kumpulan di sini, semalam.

Wan Mohd Nor berkata, untuk mengembangkan lagi operasi restoran makanan segera itu di Malaysia, pihaknya kini sedang dalam proses mencari lokasi untuk pembukaan cawangan baru dan memilih untuk menjalankan operasi bukan di pusat beli-belah.

“KUB akan terus mengukuhkan daya saing, kapasiti dan jenama A&W dan berhasrat untuk membuka antara tiga hingga empat cawangan baru serta memasuki pasaran Sabah dan Sarawak pada tahun depan.

“Operasi A&W di Thailand tidak akan diteruskan dan pegangan pelabur Malaysia yang memiliki perniagaan di sana akan dilupuskan yang mana ia kini dalam peringkat akhir,” katanya.

Perniagaan A&W diambil alih KUB pada 2001 dan kini A&W Malaysia mempunyai lebih 20 cawangan di seluruh Malaysia selain merancang untuk meningkatkan bilangan kepada 25 cawangan menjelang 2014.

No comments: