Friday, June 7, 2013

Golongan muda disaran ceburi industri kraf

KOTA BHARU 6 Jun - Penglibatan generasi muda dalam industri kraf di negeri dilihat masih rendah meskipun kerajaan telah memperkenal pelbagai program untuk menarik minat mereka berkecimpung dalam sektor terbabit.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20130607/wt_03/Golongan-muda-disaran-ceburi-industri-kraf
Published: Jun 07, 2013

Perkembangan itu ternyata membimbangkan pengusaha kraf tempatan kerana khuatir akan menjejaskan masa depan industri berkenaan selain merugikan negara.

Pengusaha kraf, Rozali Ismail berkata, kebanyakan mereka yang mempunyai kemahiran menghasilkan kraf di sini rata-rata golongan warga emas berusia 60 tahun ke atas dan ada yang sudah tidak berdaya menjalankan kerja-kerja berkenaan.

Menurutnya, kebanyakan anak-anak pengusaha kraf yang merupakan generasi muda dilihat tidak berminat meneruskan kesinambungan kerjaya bapa mereka dan lebih gemar memilih bekerja makan gaji.

"Meskipun kerajaan menyediakan pelbagai program berkaitan kemahiran menghasilkan kraf, namun generasi muda hari ini dilihat tidak berminat berkecimpung dalam bidang berkenaan.

"Jika keadaan ini berterusan, saya khuatir kita akan ketandusan bakat-bakat baharu dalam pembuatan kraf di negara ini," katanya ketika ditemui pemberita dalam program Promosi Kraf Malaysia di Kompleks beli-belah KB Mall, di sini hari ini.

Program anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan itu akan berakhir 12 Jun ini dan bermula dari pukul 10 pagi sehingga 10 malam setiap hari.

Rozali memberitahu, industri kraf mampu menjana pendapatan lumayan sekiranya dilakukan secara bersungguh-sungguh kerana produk kraf sememangnya mempunyai permintaan tinggi di pasaran tempatan.

Katanya, kesemua produk yang dihasilkannya dipasarkan ke seluruh negara termasuk Pasar Seni, Kuala Lumpur, Pekan Rabu, Kedah dan Negeri Sembilan.

No comments: