Tuesday, May 28, 2013

Kraftangan Sabah Sasar RM620,000 Jualan Di Lintasan Deasoka, Kota Kinabalu

KOTA KINABALU, 27 Mei (Bernama)-- Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan) Cawangan Sabah menyasarkan hasil jualan sebanyak RM620,000 sempena Promosi Kraf Malaysia Peringkat Negeri Sabah yang berlangsung selama 11 hari, bermula 24 Mei lalu di Lintasan Deasoka di sini.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=952302
Published: May 28, 2013

Datuk Bandar Raya Kota Kinabalu Datuk Abidin Madingkir berkata kerjasama di antara Kraftangan Malaysia Cawangan Sabah dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan memberi peluang kepada pengusaha kraf memasarkan produk selain membantu menggalakkan perkembangan industri kraf di Sabah.

"DBKK sangat mengalu-alukan dan memberi sokongan penuh kepada usaha pihak kraftangan Malaysia mengadakan promosi ini yang mampu menjana pendapatan pengusaha kraf di negeri ini," katanya pada sidang media yang turut dihadiri Pengarah Kraftangan Sabah Mohd Latif Dirun di sini Isnin.

Abidin berkata program yang bertemakan 'Kraf Menjana Ekonomi' itu bukan hanya terbuka untuk penduduk tempatan tetapi memberi peluang kepada pelancong dalam dan luar negeri mendapatkan barangan cenderahati.

Seramai 94 pengusaha dari pelbagai bidang kraf menyertai promosi tersebut dengan melibatkan 77 pengusaha dari Sabah, 15 pengusaha dari Semenanjung dan dua dari Sarawak.

"Daripada jumlah tersebut 17 pengusaha adalah dari bidang kraf tekstil manakala 77 dari bidang lain seperti rimba, logam dan aneka kraf, hasil tanah serta makanan dan minuman," katanya.

Menurutnya, promosi kraftangan yang diadakan buat kali kelapan itu turut disertai beberapa jabatan dan agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Penjara, Yayasan Sabah, Kementerian Pembangunan Luar Bandar Negeri Sabah dan Sabah Forest Industri.

Sementara itu, Mohd Latif berkata promosi kraftangan di Lintasan Deasoka pada tahun lepas berjaya meraih hasil jualan kraf bernilai RM585,000.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya akan menganjurkan beberapa program termasuk 1 Daerah 1 Industri di beberapa daerah terpilih seperti Kudat, Keningau dan Tambunan bagi mempromosikan produk kraf berasaskan tempurung, rotan dan buluh.

-- BERNAMA 

No comments: