Monday, February 18, 2013

Konsep kafe bergerak

Selepas kejayaan membimbing usahawan kios burger, Mat Salai Sdn Bhd (MSSB) syarikat milik penuh Bumiputera kini tampil dengan konsep terbaru dikenali sebagai Mat Salai Cafe on Wheelz (MSCOW) yang mengguna pakai konsep kafe bergerak.

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Konsepkafebergerak/Article/index_html
Published: February 18, 2013

Pengarah Urusan MSSB Maznah Muhamad berkata, pihaknya yakin MSCOW (www.matsalai.my) yang mengetengahkan perniagaan burger berasaskan daging salai dan serunding akan membantu usahawan menjana pendapatan lebih berikutan keupayaannya bergerak dari satu destinasi ke destinasi lain dengan mudah.

“Setakat ini, sudah ada empat usahawan mendaftar dengan syarikat dan dalam tempoh setahun, kami menjangkakan 100 orang lagi akan mengusahakan MSCOW. “Syarikat menyasarkan perolehan keuntungan sebanyak RM5 juta menerusi pengenalan projek kedua ini, selepas kejayaan cemerlang menerusi pembukaan 1,500 kios statik sepanjang lima tahun beroperasi,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran MSCOW, baru-baru ini.

MSCOW dilancarkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Majlis Makan Malam Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), di sini.

Maznah berkata, usahawan hanya perlu melabur sebanyak RM150,000 bagi mendapatkan lori bersama 100 perkakasan meliputi bar mini, ketuhar gelombang mikro, singkidan peralatan keluli tahan karat, lima meja serta kerusi bersama payung selain perisian komputer dilengkapi Internet tanpa wayar (WiFi). “Usahawan dijanjikan pendapatan bersih lebih daripada RM20,000 sebulan jika mengurus dengan baik dan syarikat akan membantu mereka dalam semua aspek termasuk bekalan bahan mentah dan urusan mendapatkan lesen GDL serta permit berniaga.

“Kami juga tidak mengenakan sebarang caj francais sebaliknya membantu secara program mentee untuk menaikkan jualan selain mengadakan promosi produk serta pengiklanan,” katanya.

No comments: