ALOR GAJAH, 7 Julai (Bernama) -- Usahawan di negara ini digesa
mendaftarkan harta intelek mereka demi menjamin pendapatan sendiri
selain membolehkan syarikat dan individu yang berminat membeli lesen
penggunaannya.
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=961603
Published: July 07, 2013
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Mohamad
Diah berkata harta intelek yang tidak didaftar bukan sahaja membuka
ruang kepada lanun cetak rompak, tetapi juga menghadkan pendapatan
usahawan terbabit.
Menerusi pendaftaran harta intelek mereka, usahawan tidak hanya
bertumpu kepada penjualan produk yang dihasilkan mereka tetapi juga
mencari cara di luar kotak untuk menjana pendapatan termasuk menjual
lesen penggunaan, katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
"Perkara ini (pendaftaran harta intelek) jika tidak diambil berat
dikhuatiri akan menjejaskan jualan produk seseorang usahawan sekiranya
ada individu lain yang turut mengeluarkan produk sama menggunakan jenama
mereka," katanya.
Terdahulu beliau mengadakan Lawatan Inovasi ke Bendang Studio Art and
Craft yang menghasilkan pelbagai produk kraf tangan berasaskan seramik.
Lawatan itu merupakan siri keempat dilakukan Abu Bakar di Melaka dalam
usaha mendekati dan mengetengahkan usahawan tempatan.
"Ada orang banyak duit tetapi tidak idea dan ada orang pula ada idea
tapi tidak ada duit. Pereka cipta yang tidak ada duit boleh cagarkan
produk yang telah didaftarkan itu untuk dapatkan duit bagi memulakan
perniagaan, manakala peniaga dapat menghasilkan produk inovasi tinggi.
"Saya amat berharap lebih ramai pereka cipta menyedari semua ini bagi
membolehkan mereka melangkah ke hadapan dengan mengkomersilkan produk
ciptaan mereka seterusnya membentuk rakyat berinovasi tinggi di negara
ini," katanya.
Katanya semua langkah itu mampu menjadikan Malaysia sebagai negara
pengeluar produk berinovasi tinggi terutama bagi pasaran tempatan.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment