Tuesday, July 9, 2013

CEDAR Pergiat Usaha Tarik Belia Manfaatkan Dana Tabung Usahawan Muda

KUALA TERENGGANU, 8 Julai (Bernama) -- Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Usahawan (CEDAR) di bawah Kementerian Sumber Manusia kini mempergiatkan usaha menarik belia untuk menjadi usahawan dan memanfaatkan dana RM50 juta di bawah Tabung Usahawan Muda.
 
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=961734
Published: July 09, 2013

Ketua Pegawai Operasi CEDAR Dr Sheikh Ghazali Abod berkata sejak bermula April lepas, tabung itu memberi kemudahan modal kepada lebih 100 usahawan di seluruh negara dengan pinjaman antara RM50,000 dan RM100,000.

"Bagaimanapun bagi Terengganu, sehingga ini tidak ada seorang usahawan pun yang tampil merebut peluang berkenaan bagi menjalankan perniagaan sendiri.

"Sebab itu kita adakan program hari ini bagi mendedahkan peluang kepada anak-anak Terengganu menceburi bidang PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) dengan mendapatkan bantuan modal daripada tabung berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian Isnin pada Seminar Pengurusan Sumber Manusia PKS yang dirasmikan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Azmi Razik.

Katanya dana itu khusus untuk anak-anak muda menceburi bidang PKS.

"Anak-anak muda yang baru lepas sekolah yang tidak mempunyai modal dan pengalaman, tetapi minat untuk jadi usahawan, dipelawa memohon dana berkenaan melalui SME Bank.

"Mereka ini yang masih baru dan tidak mempunyai pengalaman dalam bidang PKS, kita akan ajar dan bimbing mereka sehingga mampu menjadi usahawan," katanya.

Menurut Sheikh Ghazali ketika ini terdapat kira-kira 645,000 peniaga atau 97 peratus merupakan perniagaan sektor PKS.

-- BERNAMA 

No comments: