Monday, July 22, 2013

2014 tahun pengkomersialan produk

Melaka: Tahun 2014 akan diisytiharkan sebagai tahun pengkomersialan produk inovasi dalam pelbagai bidang untuk dipasarkan di peringkat global, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Dr Abu Bakar Mohd Diah.

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2014tahunpengkomersialanproduk/Article/index_html
Published: July 22, 2013

Menurut beliau, pengisytiharan itu adalah langkah serius MOSTI untuk memastikan produk yang dihasilkan menerusi inovasi tidak terbiar tanpa sebarang langkah proaktif.

“Kita akan memberi tumpuan kepada pengkomersialan produk yang pernah memenangi pelbagai anugerah emas dan dipatenkan sepanjang tahun ini selain yang belum memasuki pasaran di peringkat tempatan serta antarabangsa.

“Sebanyak 360 produk disasarkan untuk dikenal pasti termasuk teknologi bioperubatan dan bioteknologi yang perlu diberi perhatian bagi memastikan inovasi terhasil bakal memberi pulangan lumayan kepada ekonomi penduduk dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meraikan majlis berbuka puasa bersama 50 anak yatim anjuran Gerakan Belia 4B Cawangan Batang Tiga Timur dengan kerjasama Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Masjid Kampung Batang Tiga di sini, petang kelmarin.

Abu Bakar berkata, beberapa produk itu perlu terlebih dulu dikomersialkan usahawan dan memasuki pasaran tempatan bagi menguji piawaiannya sebelum memasuki pasaran lebih besar seperti peringkat global.

“Kerjasama pintar antara pengusaha bersama agensi kerajaan dan swasta selain pasar raya juga antara langkah efektif dalam memastikan penghasilannya berada di tahap produktif serta memiliki nilai komersil global.

“Ia merangkumi tempoh percubaan produk selama dua tahun yang dikira mencukupi sebelum dipasarkan,” katanya.

Kata beliau, pihaknya tidak mahu produk yang tidak diuji dari aspek komersial kerana bimbang ia tidak mendapat sambutan.

No comments: