Friday, July 19, 2013

Kerajaan Harus Ambil Langkah Agresif Berterusan Memajukan Ekonomi Bumiputera

KUALA UMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) meminta kerajaan mengambil langkah yang lebih agresif dalam memastikan usaha memajukan ekonomi Bumiputera sebagai usaha yang berterusan.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=964350
Published: July 19, 2013

Pengerusinya Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata ekonomi Bumiputera tidak akan terbela selagi kerajaan tidak memberi perhatian yang serius dan berterusan terhadap usaha-usaha memajukannya.

"Hanya dengan cara ini kita akan dapat mengelakkan suasana di mana ekonomi negara dikuasai oleh kaum minoriti berbanding kaum majoriti," katanya pada sidang media di sini Khamis.

Dalam mencapai hasrat ini, GABEM mencadangkan beberapa langkah, termasuk pemantauan oleh Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) supaya penyertaan Bumiputera dalam ekonomi adalah menyeluruh dan meliputi peringkat negeri dan daerah.

"Dalam pemerhatian GABEM, kekuatan Barisan Nasional pada masa ini adalah bertunjangkan sokongan daripada penduduk di luar bandar di negeri dan daerah yang mempunyai bilangan pengundi Melayu dan Bumiputera yang besar.

"Namun, sebahagian besar peruntukan kerajaan untuk memajukan Bumiputera tertumpu kepada usahawan-usahawan yang besar di peringkat pusat yang bilangannya kecil," katanya.

Beliau berkata perpaduan Bumiputera yang lebih kukuh dapat diwujudkan sekiranya kerajaan, dalam tempoh beberapa tahun akan datang, berjaya meningkatkan ekonomi orang Melayu.

Rahim berkata GABEM sendiri telah merangka beberapa program baharu yang lebih jelas dan menyeluruh dengan memberi tumpuan kepada majoriti usahawan di peringkat akar umbi.

Katanya program berbentuk revolusioner yang mampu mengubah senario ekonomi bangsa dalam masa yang singkat, termasuk 'Satu Keluarga Satu Syarikat (1K1S) dan Syarikat Teras Negeri (STN).

"1K1S bertujuan menggalakkan setiap keluarga Melayu dan Bumiputera memiliki sekurang-kurangnya sebuah syarikat untuk menjinakkan mereka dengan budaya keusahawanan di peringkat permulaan.

"Pada fasa pertama, GABEM menyasarkan sekurang-kurangnya 30 syarikat ditubuhkan di setiap negeri menerusi program ini," katanya.

Bagi program STN pula, Rahim berkata program ini diwujudkan untuk menampung kekosongan program untuk kumpulan usahawan kecil dan sederhana (PKS) di peringkat negeri dan daerah.

"GABEM, dengan kerjasama agensi-agensi kewangan yang berkaitan, akan mencungkil PKS-PKS yang berdaya maju untuk diberikan bimbingan, galakan dan bantuan supaya mereka boleh meningkat dengan lebih cepat.

"Menerusi fasa pertama, sekurang-kurangnya 50 syarikat berdaya maju dikenal pasti di setiap negeri," katanya.

-- BERNAMA

No comments: