Saturday, July 13, 2013

RM150,000 bantu mahasiswa berniaga

KOTA KINABALU 12 Julai - Kerajaan negeri melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian menyediakan dana berjumlah RM150,000 setiap tahun bagi membantu mahasiswa di Sabah yang berminat menceburi bidang keusahawanan.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Sabah_&_Sarawak/20130713/wb_02/RM150000-bantu-mahasiswa-berniaga
Published: July 13, 2013

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco), Datuk Seri Nasir Sakaran berkata, dana berkenaan disalurkan di bawah Skim Pembangunan Usahawan Siswazah (SPUS) dan setakat ini sebanyak 152 orang terdiri daripada lepasan siswazah menyertai program tersebut.

"Kerajaan sentiasa berusaha memberi galakan dan bimbingan terhadap mahasiswa menceburi perniagaan melalui pelbagai skim. Jadi, kita minta para mahasiswa memanfaatkan sepenuhnya bantuan tersebut," katanya dalam majlis penyampaian Sijil SPUS 2013 kepada 20 penerima dan Anugerah Kecemerlangan Akademik Kumpulan Sedco (SEED) bagi 2011 dan 2012 di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian, Datuk Hashim Paijan, Pengurus Besar Kumpulan Sedco, Maisuri Besri dan Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, Datuk Dr. Abd. Kadir Rosline.

Dalam majlis itu, sebanyak 23 anak-anak kakitangan Sedco yang mencapai keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menerima insentif SEED.

Insentif itu diberikan sebagai motivasi dan galakan kepada anak-anak kakitangan Sedco mencapai keputusan cemerlang dalam pendidikan.

Nasir berkata, usaha bersepadu antara Kementerian Pembangunan Perindustrian, Sedco, UiTM, Majlis Amanah Rakyat (Mara), Bank SME dan Sedcovest Holdings Sdn. Bhd. berjaya melahirkan sebanyak 66 usahawan muda di negeri ini.

Katanya, bidang-bidang keusahawanan yang diceburi termasuk pengendalian restoran dan pengeluaran makanan, pemprosesan sarang burung, pemprosesan bahan binaan batu-bata konkrit, pembaikan sofa rumah dan sebagainya.

Sehubungan itu, Nasir menyeru para penerima skim tersebut menggunakan sepenuhnya peluang yang diperoleh kerana segala usaha kerajaan membantu mahasiswa akan sia-sia jika mereka gagal memanfaatkannya.

No comments: