Tuesday, July 16, 2013

Kraf jana pendapatan lumayan

KOTA BHARU 15 Julai - Menghasilkan produk berasaskan anyaman buluh atau rotan memang sukar, namun jika ada kemahuan dan bakat semula jadi, semuanya pasti mudah menjadi .

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20130716/wt_02/Kraf-jana-pendapatan-lumayan
Published: July 16, 2013


ROZALI Ismail menunjukkan barangan kraf di kedainya, Ayu Craft di Kampung Talak, Tumpat.

Rotan dan buluh adalah spesies yang berpotensi dan bernilai komersial untuk menghasilkan perabot, raga dan pelbagai barangan dekorasi dengan menggunakan teknik anyaman.

Bahan tersebut mampu digunakan untuk menghasilkan barangan kraf yang unik dan cantik serta boleh dijadikan cenderamata mahupun barangan perhiasan rumah.

Seorang pengusaha kraf, Rozali Ismail, 43, bertekad untuk menceburi bidang seni kraf kerana dilihat berpotensi memberi pulangan lumayan jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

"Secara puratanya dalam masa sebulan saya memperoleh pendapatan RM5,000 dan perusahaan kraf ini sedikit sebanyak menambah pendapatan keluarga dan seterusnya dapat mengubah kehidupan keluarga saya ke arah lebih selesa," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurut Rozali, beliau sudah menjalankan perniagaan kraf di daerah Tumpat sejak dua tahun lalu.

"Sebelum ini saya hanya menjual kain batik di kedai yang diberi nama Ayu Craft terletak di Kampung Talak, Tumpat.

"Namun melihatkan hasil anyaman buluh atau rotan mendapat permintaan tinggi daripada peniaga di bandar, saya mengambil keputusan untuk menjual barangan ini di kedai yang sama serta dipasarkan ke serata tempat," katanya.

Kesemua produk yang dihasilkannya dipasarkan ke seluruh negara termasuk Pasar Seni di Kuala Lumpur, Pekan Rabu di Kedah dan Negeri Sembilan.

Antara barangan kraf yang dipamer dan dijual di kedainya adalah bakul beras, bakul baju, bekas alat tulis, gayung, tudung saji, tikar dan banyak lagi.

"Harga barangan kraf yang dijual kepada orang ramai adalah mengikut saiz iaitu bermula dengan harga RM3 sehingga mencecah RM800 dan bergantung kepada kualiti serta tahap kesukaran membuatnya," katanya.

Menurut Rozali, beliau mengambil tempahan kraf tersebut daripada penduduk kampung yang tinggal di sekitar Kota Bharu dan Kampung Talak yang berdekatan dengan kedainya.

"Kebanyakan mereka yang mempunyai kemahiran menghasilkan kraf di sini rata-rata golongan warga emas berusia 60 tahun ke atas dan ada yang sudah tidak berdaya menjalankan kerja-kerja berkenaan.

"Bentuk anyaman yang dimahukan akan dinyatakan oleh saya sendiri dan saya menerima kira-kira 20 biji hasil anyaman dalam masa seminggu," katanya.

Menurutnya, orang ramai lebih meminati barangan anyaman yang tidak diwarnakan kerana pewarna tidak tahan lama serta mudah luntur.

Rozali memberitahu, industri kraf mampu menjana pendapatan lumayan sekiranya dilakukan secara bersungguh-sungguh kerana produk kraf sememangnya mempunyai permintaan tinggi di pasaran tempatan.

Tambahnya, beliau sekarang banyak mendapat tempahan dari luar Kelantan dan majlis perkahwinan yang mahu kraf tersebut dijadikan sebagai cenderamata kepada orang ramai menghadiri majlis berkenaan.

Ditanya mengenai minat anak muda terhadap barangan kraf, Rozali memberitahu, kebanyakan generasi muda dilihat tidak berminat meneruskan kesinambungan kerjaya dalam industri berkenaan, sebaliknya lebih gemar bekerja makan gaji.

"Meskipun kerajaan menyediakan pelbagai program berkaitan kemahiran menghasilkan kraf, namun generasi muda hari ini dilihat tidak berminat berkecimpung dalam bidang berkenaan.

"Saya khuatir jika keadaan ini berterusan, kita akan ketandusan bakat baharu dalam pembuatan kraf di negara ini," katanya.

Dalam masa sama, Rozali berharap generasi muda dapat mendekatkan diri dengan kemahiran anyaman rotan kerana ia mampu melonjakkan pendapatan mereka.

"Mereka dapat mengangkat anyaman rotan khususnya bakul rotan sebagai satu produk kraf tangan yang bersifat komersial dan mampu menjana pendapatan utama atau sampingan.

"Apa yang penting ialah produk kraftangan mereka mengandungi unsur-unsur estetika, etika dan logikal agar ia senang diterima oleh masyarakat setempat termasuk pengamal seni dari luar," katanya.

Rozali memberitahu, beliau pernah menyertai program mempromosikan barangan kraf di dalam dan luar Kelantan bertujuan menggalakkan masyarakat tempatan dan pelancong supaya terus menyokong dan memperhebatkan penggunaan produk kraf dalam gaya hidup di alaf baharu ini.

"Selalunya setiap bulan saya akan mengambil peluang menyertai program sebegini kerana mendatangkan pulangan yang lumayan iaitu dua kali ganda berbanding pada hari biasa," katanya.

Menurut Rozali, beliau mahu memperbanyakkan lagi bentuk anyaman kraf agar dapat menarik perhatian orang ramai dalam pelbagai peringkat umur supaya dapat menggunakan barangan unik ini.

"Walaupun nampak macam biasa, namun kraf tangan ini wajar diberikan pengiktirafan kerana ia adalah satu hasil seni yang diterjemahkan oleh seseorang yang berbakat. Bukan semua orang mempunyai bakat dan kemahiran ini. Jadi tidak salah jika kita menghargainya.

"Saya juga berharap pihak yang bertanggungjawab memperbanyakkan lagi program-program promosi bukan saja di Kelantan malah di negeri lain juga untuk membantu pengusaha kraf," katanya.

No comments: