Source from (Utusan Malaysia):
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20120930/dn_02/Program-usahawanan-bestari-bantu-ekonomi
Published: September 30, 2012
MUHYIDDIN Yassin melancarkan KFC Qu
Card (gambar kecil) sempena
Karnival Bistari 2012 di Putrajaya, semalam.
Turut sama (dari kiri)
Ayob Mion, Kamaruzzaman Abu Kassim dan Ab.
Rahim Md. Noor. - BERNAMA
PUTRAJAYA 29 Sept. - Timbalan Perdana Menteri menyifatkan program
keusahawanan bestari penting bukan hanya untuk menyemai nilai murni
inovatif, kreatif, semangat kerjasama dan berdaya saing tetapi mampu
mengurangkan kebergantungan terhadap sektor awam.
Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran berkata,
pengurangan kebergantungan itu secara tidak langsung akan menyumbang
kepada pertumbuhan ekonomi negara.
"Program keusahawanan bestari turut mampu membentuk budaya minat
kepada bidang tersebut dalam kalangan pelajar seterusnya berupaya
melahirkan lebih ramai usahawan berpotensi dan modal insan berkualiti
pada mada hadapan.
"Jadi penyertaan para pelajar dengan bimbingan guru-guru bestari
mampu membentuk persepsi yang baik terhadap bidang keusahawanan sekali
gus menjadikan bidang itu satu kerjaya," katanya ketika berucap dalam
majlis perasmian Karnival Bistari 2012 dan melancarkan KFC QU Card di sini hari ini.
KFC Qu Card merupakan kad prabayar yang memudahkan transaksi harian
untuk pembelian produk KFC dan juga transaksi online pembelian barangan
di 750 perniagaan KFC.
Turut hadir pada majlis itu ialah (dari kiri) Pengerusi KFC Holdings
(Malaysia) Berhad, Datuk Ayob Mion, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif
Johor Corporation, Kamaruzzaman Abu Kassim dan Ketua Setiausaha
Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Ab. Rahim Md. Noor.
Menyentuh tentang karnival itu, Muhyiddin berkata, ia sejajar dengan
visi kerajaan menjayakan program transformasi ekonomi dalam usaha
menjadikan Malaysia sebagai negara maju berpendapatan tinggi menjelang
2020.
"Penganjuran program seumpama itu adalah amat wajar kerana ia
merupakan suatu inisiatif yang berpandangan jauh. Kita tidak akan dapat
sampai ke destinasi yang dihajati sekiranya tidak memulakan langkah
pertama," katanya.
No comments:
Post a Comment