KUALA TERENGGANU 10 Julai - Kerajaan negeri kecewa dengan sikap tamak dalam kalangan segelintir peniaga songket yang 'membunuh' masa depan industri warisan itu dengan membawa masuk lambakan songket India untuk mencari keuntungan begitu besar dalam cara paling mudah.
Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20130711/wt_04/Lambakan-songket-India-ancam-tenunan-Terengganu
Published: July 11, 2013
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, mereka tidak
mempedulikan kesan jangka panjang daripada tindakan menawarkan songket
import yang diberi gambaran sebagai tenunan asli Terengganu kepada
pelanggan.
Katanya, tindakan peniaga terbabit bukan sahaja boleh menjatuhkan
reputasi songket Terengganu yang sudah terkenal di serata dunia, malah
mengakibatkan warisan yang memancarkan ketinggian seni tekstil itu gagal
dipertahankan.
"Sejak dulu lagi songket Terengganu merupakan hasil tenunan negeri
ini yang mendapat pengiktirafan antarabangsa dengan kehalusan seni
tenunan dan berada dalam kelasnya tersendiri.
"Namun, sikap tamak peniaga songket itu sendiri yang ingin menjual
benda murah dengan harga mahal telah menyebabkan mereka sanggup membawa
masuk songket India," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat
Mingguan Exco di Wisma Darul Iman hari ini.
Ahmad mengulas keluhan para peniaga dan penenun songket Terengganu
ekoran perniagaan yang makin merosot dan bimbang kemungkinan gulung
tikar jika lambakan songket dari India terus dibiarkan berleluasa.
Menteri Besar mengambil contoh seorang individu ternama di negeri ini
yang tidak pengalaman tentang songket Terengganu terbeli 'songket
tiruan' berharga RM800 sehelai.
"Bagi beliau (pembeli) soal harga bukanlah menjadi persoalan tetapi
sikap tidak memaklumkan perkara sebenar sesuatu yang amat dikesali.
"Jika Terengganu mahu kekal sebagai negeri pengeluar utama songket
negara yang dikagumi dengan harga berpatutan, sepatutnya peniaga tidak
membeli dan menawarkan songket dari India," katanya.
Ahmad berkata, kerajaan negeri tiada hak menguatkuasakan sebarang tindakan menghalang kemasukan songket berkenaan.
''Bagaimanapun sebagai peniaga yang mempunyai hati dan perasaan,
mereka harus berusaha memartabatkan songket tempatan sebagai satu
perniagaan yang eksklusif di Terengganu," ujar beliau.
No comments:
Post a Comment