Thursday, July 18, 2013

Kek, roti jana pendapatan

ALOR SETAR 17 Julai - Tak kenal maka tak cinta. Istilah ini amat sesuai menggambarkan kisah seorang wanita berkelulusan Diploma Kewartawanan dari Malaysian Institut Integratif Media (MIIM) yang menjadikan bidang pembuatan kek, roti dan pastri bagi menjana pendapatan sampingan.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20130718/wu_01/Kek-roti-jana-pendapatan
Published: July 18, 2013


VARIASI kek, pastri dan mufin yang dihasilkan oleh Shahni Farhana Mat Sahir bagi memenuhi cita rasa pelanggan di Alor Setar, Kedah.

Bermula dengan paksaan ayah untuk mengikuti kursus dalam bidang pembuatan kek, roti dan pastri di pejabat Majlis Amanah Rakyat (Mara) Kedah pada 2008, Shahni Farhana Mat Sahir, 27, mula mengorak langkah menjalankan perniagaan kecil-kecilan menjual kek, roti dan pelbagai jenis pastri yang dibuat sendiri.

Shahni Farhana berkata, beliau juga tidak menyangka bidang yang kurang digemarinya dahulu kini memberi hasil yang agak lumayan untuk dirinya dan keluarga.

Anak bongsu daripada enam beradik itu memberitahu, selepas tamat pengajian di MIIM, beliau masih belum mendapat sebarang pekerjaan dan untuk mengelak daripada penganggur, bapanya, Mat Sahir Selamat, 64, menyuruhnya mengikuti kursus membuat kek, roti dan pastri itu.

"Pada mulanya saya memang enggan ikut kursus tersebut kerana tidak minat dalam bidang masakan, namun atas paksaan ayah saya pergi juga. Lama kelamaan saya mula jatuh cinta dalam bidang pembuatan kek, roti dan pastri kerana saya dapati ramai peminatnya.

"Saya mula buat kek, roti dan pelbagai jenis pastri secara kecil-kecilan di rumah selepas tamat kursus dan sehingga kini perniagaan tersebut semakin berkembang," katanya ketika ditemui di Jalan Seberang Perak di sini hari ini.

Menurutnya, beliau bersyukur kerana dipaksa oleh ayahnya untuk mengikuti kursus tersebut tetapi jika tidak dipaksa mungkin dia masih terkial-kial mencari arah untuk memulakan perniagaan.

"Saya memang meminati dunia perniagaan, namun selepas tamat belajar saya masih belum terokai bakat yang ada dalam diri. Selepas kursus tersebut saya mula yakin dengan bakat dalam bidang masakan dan menambah ilmu dengan mengikuti kelas masakan persendirian serta mempelajari menerusi blog masakan.

"Saya bercadang membuka sebuah kafe yang menjual kek, roti dan pastri satu hari nanti," ujarnya.

Shahni Farhana berkata, beliau perlu bijak membahagikan masa untuk memasak pelbagai jenis kek, roti dan pastri yang ditempah pelanggan kerana dia juga bekerja di sebuah syarikat swasta pada sebelah pagi sehingga petang.

"Selalunya saya memperuntukkan waktu malam untuk menyiapkan tempahan pelanggan dan ada kalanya jika tempahan banyak saya hanya sempat tidur sejam sahaja atau kadang kala saya tidak tidur seharian kerana saya selesa bekerja seorang.

"Walaupun letih saya gembira apabila pelanggan berpuas hati dengan tempahan yang mereka terima daripada saya. Kedatangan Ramadan ini juga digunakan sebaik-baiknya untuk menjalankan perniagaan memandangkan banyak tempahan yang diterima," jelasnya.

Isteri kepada Saifullah Muhammad, 27, itu berkata, buat masa ini beliau memilih untuk membuat kek di rumah untuk menjimatkan kos memandangkan kos untuk membuka sebuah kedai kek agak mahal dan memerlukan komitmen yang tinggi.

Katanya, memang menjadi impiannya untuk membuka sebuah kafe sendiri jika mempunyai modal yang mencukupi untuk berbuat demikian.

Bagi mereka yang ingin menempah pelbagai jenis kek seperti red velvet, kek chiffon, durian crepe dan lain-lain lagi boleh melawat laman Facebook Shahni Farhana Mat Sahir atau menelefon 017-5171610 untuk menempah.

No comments: