KUALA TERENGGANU, 10 Julai (Bernama) -- Tindakan segelintir peniaga
songket menipu pelanggan dengan menawarkan songket India yang didakwa
mereka sebagai songket asli buatan Terengganu bakal menjatuhkan reputasi
dan pengiktirafan tenunan songket tempatan.
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=962403
Published: July 11, 2013
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said yang kesal dengan tindakan
sedemikian berkata disebabkan sikap segelintir peniaga itulah, warisan
nenek-moyang itu gagal dipertahan.
"Saya kesal sikap tamak peniaga songket itu sendiri yang ingin menjual
benda murah dengan harga yang mahal dengan laba yang lebih, mereka
sanggup membawa masuk songket India," katanya kepada pemberita selepas
mempengerusikan mesyuarat exco, di sini Rabu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar
hari ini mengenai 1,500 peniaga dan penenun songket Terengganu
berkemungkinan gulung tikar berikutan masalah lambakan songket dari
India yang dijual di negeri ini tanpa sekatan pihak berkuasa.
Ahmad berkata jika Terengganu ingin kekal sebagai negeri pengeluar
utama songket negara yang dikagumi, peniaga sepatutnya tidak membeli dan
menawarkan kepada pelanggan songket tiruan.
Beliau berkata kerajaan negeri tiada hak dan tidak boleh
menguatkuasakan sebarang akta untuk menghalang kemasukan songket import
itu.
Peniaga sebaliknya harus jujur dan berusaha memartabatkan songket
Terengganu sebagai satu perniagaan yang eksklusif di negeri ini,
katanya.
Songket Terengganu sinonim di kalangan peminat tekstil negara ini
selain memiliki kelas tersendiri dalam industri kraftangan dunia serta
diiktiraf antarabangsa.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment