KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak pernah berjanji memperuntukkan RM50 juta
semata-mata bagi pemandu teksi India di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan
Usaha Niaga (Tekun Nasional) tetapi wang itu adalah bagi keseluruhan
pembangunan usahawan India.
Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/peruntukan-rm50-juta-untuk-usahawan-india-1.186327
Published: July 25, 2013
Pengarah Sekretariat Khas bagi Memperkasakan Usahawan India (SEED) Dr A.
T. Kumararajah menjelaskan kerajaan tidak pernah berjanji RM50 juta
bagi pemandu teksi India Malaysia.
"Apa yang dijanjikan kerajaan ialah usahawan India akan mendapat akses
kepada dana RM50 juta daripada Tekun Nasional tahun ini," katanya pada
sidang akhbar hari ini.
Kumararajah berkata SEED telah mengeluarkan pinjaman RM4.8 juta kepada
pemandu teksi India di bawah skim khasnya bagi kumpulan itu.
Beliau berkata 570 permohonan telah diluluskan daripada 960 permohonan
yang diterima sejak April dan sehingga sekarang, di bawah skim khas bagi
pemandu teksi India.
"Baki 390 permohonan masih sedang diproses kerana maklumat tidak lengkap dalam borang permohonan," katanya.
Beliau berkata SEED akan meminta kerajaan memperuntukkan RM70 juta lagi bagi pemandu teksi India di bawah Bajet 2014.
Kumararajah berkata sejak penubuhan skim khas bagi orang India di bawah
Tekun Nasional, sejumlah RM3.45 juta telah dikeluarkan kepada 4,212
usahawan India sehingga bulan ini di bawah fasa pertama.
Dalam fasa kedua skim tersebut, SEED telah memberikan lebih RM80.5 juta
kepada 5,020 usahawan India, katanya, sambil menambah sejumlah RM115
juta telah dikeluarkan kepada 9,232 usahawan India.
SEED ialah unit yang ditubuhkan di bawah Program Transformasi Ekonomi Masyarakat India di Jabatan Perdana Menteri. - Bernama
No comments:
Post a Comment