Monday, July 22, 2013

Usahawan online

Semakin ramai individu mula memilih untuk berniaga dalam talian dan ada antara mereka menikmati pendapatan mencecah puluhan ribu setiap bulan.

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2013072203274620130722032746/Article/index_html
Published: July 22, 2013

Semua orang berpotensi menjalankan perniagaan seumpama itu dan boleh menawarkan pelbagai produk sama ada secara fizikal, digital atau perkhidmatan.

Peluang meneroka bidang ini juga semakin banyak kerana perkembangan penggunaan Internet di Malaysia terus mencatatkan peningkatan.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), statistik pengguna Internet pada 2011 menunjukkan terdapat hampir 17 juta pengguna di negara ini. Laman sembang sosial seperti Facebook pula mencapai lebih 13 juta pengguna dengan purata individu menghabiskan masa melayari Facebook 22.3 jam seminggu. Ini kerana, ketika ini Facebook platform berkesan dalam menyampaikan maklumat seperti produk terkini yang disampaikan melalui rakan sama minat yang menjadikan penyampaian maklumat itu dapat dilakukan dengan lebih cepat dan tepat dengan sasaran. Ia juga menunjukkan aktiviti penjualan dan pembelian melalui Internet turut meningkat secara mendadak dengan sektor Internet pada 2010 menyumbang 4.1 peratus berbanding negara maju lain dengan kadar purata 3.4 peratus. Dalam ekonomi digital kini, kita patut merebut peluang dalam perkembangan sektor Internet ini terutama dalam sektor e-dagang. Antara faktor yang menjadikan sektor ini mudah dimulakan antaranya kerana kos permulaan perniagaan lebih rendah, pemasaran lebih meluas dengan sasaran pengguna lebih spesifik, pengurusan perniagaan automatik dalam hubungan pelanggan dan kos pemasaran jauh lebih murah berbanding pemasaran konvensional.

Dalam pemerhatian dan kajian Persatuan Usahawan Internet Malaysia (PUIM), antara halangan utama kebanyakan orang ramai untuk mula menjual di Internet ialah seperti takutkan persaingan, tidak tahu produk apa hendak dijual, takut ditipu pembeli dan penjual lain serta tidak tahu menjual melalui Internet termasuk dari segi teknik dan strategi. Terdapat beberapa langkah yang boleh dipertimbangkan untuk mengatasi masalah ini iaitu dengan belajar daripada mereka yang sudah melaluinya. Disebabkan permulaan, maka banyak perkara yang kita tidak tahu dan tidak pernah hadapi sebelum ini. Langkah pertama yang perlu dilakukan adalah belajar.

Namun, kita perlu mengambil langkah untuk belajar daripada mereka yang terbabit dalam bidang sama dengan teknik dan sistem yang terbukti berkesan. Melalui cara ini, anda boleh mempercepatkan proses pembelajaran anda dan mengurangkan kos kewangan atau masa. Jika anda mempunyai duit simpanan untuk belajar, ia membolehkan anda mencapai kemajuan dengan lebih cepat namun, jika berdepan isu kewangan, maka belajar melalui pengalaman sendiri adalah cara terbaik. Selain itu, anda perlu mencari kumpulan rakan yang memiliki minat dan fikiran sama seperti anda. Kumpulan ini akan menyuntik semangat anda jika ada yang berjaya mencapai satu tahap yang baik. Sebagai contoh, sekiranya anda berjaya membuat jualan, mereka akan memberikan suntikan motivasi dan kepercayaan kepada apa yang anda buat. Kumpulan ini juga penting kerana anasir negatif di luar sana mungkin boleh menggugat keyakinan anda untuk meneruskan apa yang ada mulakan. Sudah tentu ramai tidak menyokong atau tidak faham apa yang anda buat. Namun, dengan sokongan daripada kumpulan ini, anda pasti boleh meneruskan usaha sehingga mencapai kejayaan besar. Antara medium yang sering menjadi pilihan usahawan melalui forum di Wangcyber.com, mengikuti perkembangan di Facebook PUIM serta menjadi ahli persatuan akan membantu anda berada dalam kumpulan yang betul.

Selain berada dalam kumpulan yang betul, usahawan juga perlu melalui proses buat dan baiki.


Langkah paling penting adalah buat, buat dan buat. Anda mestilah buat apa yang anda pelajari dari buku, rakan, seminar atau ekspo yang anda hadiri. Cara ini akan memberikan lebih kemajuan berbanding biasa. Apabila anda buat, anda lebih faham berbanding anda membaca dan akan buat kemudian. Sudah pasti, apabila anda buat kali pertama, anda tidak terus mendapat apa yang anda mahu sepenuhnya, tetapi itu langkah pertama yang baik kerana anda akan baiki untuk tindakan selanjutnya. Secara keseluruhan, saya ingin tegaskan peluang berniaga di Internet ini sangat besar.

Cuba perhatikan sekeliling anda dan anda akan lihat pelbagai jenama perniagaan muncul di Internet. Malah, anda sendiri mungkin semakin kerap membeli secara dalam talian.

Penulis Presiden Persatuan Usahawan Internet Malaysia (PUIM)

No comments: