KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Perbadanan Usahawan Nasional Bhd
(PUNB) menasihatkan orang ramai khususnya golongan usahawan dan peniaga
Bumiputera agar tidak terpedaya dengan segelintir penganjur bengkel dan
kursus perniagaan yang menguna pakai nama PUNB.
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=962779
Published: July 13, 2013
Menurut PUNB, baru-baru ini ia mendapati terdapat syarikat yang
menganjurkan bengkel perancangan dan pengurusan perniagaan yang
menyalahgunakan risalah-risalah skim pembiayaan PUNB dan sebuah lagi
badan pembiayaan kerajaan yang lain.
Pihak penganjur bengkel ini juga didapati mengenakan bayaran tinggi
kepada peserta bengkel dan menjanjikan kelulusan pinjaman oleh PUNB
kepada para peserta setelah tamat latihan bengkel tersebut, demikian
menurut agensi itu dalam satu kenyataan Jumaat.
"PUNB memandang serius penyalahgunaan nama PUNB dan ia merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.
"Oleh itu, orang ramai adalah disarankan tidak terpedaya dan sentiasa
berhati-hati dengan individu/syarikat yang mengambil kesempatan untuk
meraih keuntungan," katanya.
Menurut kenyataan itu, PUNB tidak pernah melantik mana-mana pihak atau
ejen untuk menganjurkan sebarang program, kursus atau bengkel latihan
perniagaan bagi pihaknya.
PUNB juga tidak mengamalkan jaminan kelulusan pembiayaan secara
automatik tanpa menilai kertas cadangan perniagaan daripada seseorang
usahawan itu terlebih dahulu.
PUNB mengadakan taklimat mingguan pembiayaan perniagaan pada setiap
Isnin di Pejabat PUNB dan di semua pejabat Wilayah dan Cawangan UTC
bermula pada 10 pagi hingga 12 tengah hari.
Kemasukan dan pendaftaran untuk sesi taklimat adalah percuma.
Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut sila hubungi Pusat Khidmat
Pelanggan di talian 1300 13 7862 atau layari laman portal rasmi PUNB di
www.punb.com.my.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment