KOTA KINABALU 18 Julai - Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco) menyasarkan untuk memantapkan lagi pelbagai usaha membantu dan mengembangkan lagi potensi usahawan bumiputera di luar bandar, sekali gus melonjakkan pendapatan mereka.
Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Sabah_&_Sarawak/20130719/wb_01/Sedco-lebih-aktif-bantu-usahawan
Published: July 19, 2013
Pengerusinya, Datuk Seri Nasir Tun Sakaran berkata, antara yang akan
difokuskan ialah menerusi aktiviti mempromosikan barangan keluaran
masing-masing, selain membangunkan industri luar bandar, khususnya
berasaskan pertanian dan kraf tangan Sabah.
"Sedco akan menjadi pelengkap kepada setiap program pembangunan
usahawan luar bandar, khususnya program 'Satu Produk Satu Kampung' yang
banyak menonjolkan keupayaan dan potensi pasaran produk tempatan.
"Banyak hasil keluaran di negeri ini yang mempunyai nilai komersial
dan berdaya saing bagi dipasarkan ke peringkat lebih tinggi sehingga
pasaran luar negara," katanya yang ditemui dalam majlis serah tugas
Pengerusi Sedco daripada Datuk Mohd. Ariffin Mohd. Ariff di sini hari
ini.
Nasir mula mengambil alih tugas sebagai Pengerusi Sedco yang baharu secara rasmi bermula pada 1 Jun lalu.
Yang hadir sama Pengurus Besar Kumpulan Sedco, Maisuri Besri;
Timbalan Pengurus Besar Kumpulan (Pembangunan Korporat), Jani @ Zaini
Isa dan Pengurus Kumpulan Pembangunan Perniagaan Sedco, Gemel J. Maliki.
Nasir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Senallang berkata, usaha
lain yang akan dilaksanakan oleh Sedco adalah menambah baik program yang
menjurus kepada pembangunan ekonomi dan usahawan bumiputera, selain
menambah pelaburan baharu.
Menurutnya, bagi melaksanakan agenda tersebut, penglibatan dan
kerjasama erat daripada agensi kerajaan adalah sangat diperlukan untuk
menjana pendapatan lebih baik kepada ekonomi negeri.
Jelasnya, langkah tersebut sebagai sokongan serta membantu program
pembangunan yang dilakukan oleh Sedco, sekali gus menjayakan misi dan
visi kerajaan negeri bagi membangunkan masyarakat luar bandar.
"Usaha ini selaras dengan objektif utama Sedco yang ditubuhkan pada
1971 untuk membantu merangsang pembangunan industri, komersial dan
sosioekonomi negeri serta wawasan menjadikan perbadanan itu sebagai
syarikat model dalam pembangunan ekonomi negeri," katanya.
No comments:
Post a Comment