Friday, January 11, 2013

1Azam tingkat status wanita

KOTA KINABALU 9 Jan. - Kerajaan tidak pernah meminggirkan golongan wanita dalam usaha mencapai negara maju dengan sentiasa komited mengiktiraf golongan berkenaan dalam prospek pembangunan ekonomi negara.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Sabah_&_Sarawak/20130110/wb_02/1Azam-tingkat-status-wanita
Published: January 11, 2013

Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Teknologi Maklumat negeri, Datuk Jainab Ahmad berkata, ia bukan satu cerita kosong tetapi dibuktikan melalui enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang menekankan kepada proses pembangunan wanita sebagai peneraju penting pertumbuhan ekonomi negara.

"Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang dipertanggungjawabkan meningkatkan taraf hidup mereka yang berpendapatan rendah, iaitu satu daripada teras NKRA, menggalas peranan berat meningkatkan penyertaan dan peranan aktif golongan itu," katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan ke Kampung Rampayan Mengatal, di sini semalam.

Jainab berkata, program Azam Tani yang menjana pendapatan melalui kegiatan berasaskan pertanian, Azam Niaga (perniagaan kecil-kecilan), Azam Khidmat (bidang perkhidmatan) dan Azam Kerja (penempatan pekerjaan), adalah cabang terbaik kepada wanita seperti ibu tunggal dan suri rumah.

"Biarpun program ini tidak memberi fokus khusus kepada wanita kerana turut membabitkan Ketua Isi Rumah (KIR) golongan lelaki, namun ia mampu meningkatkan pertumbuhan wanita dalam perniagaan.

"Kita dapat melihat sudah ramai wanita berjinak-jinak dengan perniagaan dan ini menampakkan pertumbuhan ketara wanita dalam bidang itu," katanya.

Dalam lawatan itu, Jainab bersama rombongan Jalinan Rakyat Wanita UMNO Sepanggar melawat sebuah kedai jahitan yang dimiliki oleh seorang pengusaha wanita iaitu, Tialam Mai di Kampung Rampayan, Menggatal.

Menurutnya, kedai tersebut banyak mendapat tempahan untuk membuat langsir, baju, kusyen daripada orang ramai.

No comments: