Source From (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0609&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_05.htm
Published: on 09 Jun 2012
PETALING JAYA 8 Jun - Syarikat kewangan, SME Factors akan melancarkan produk baru pembiayaan untuk projek sektor swasta.
Produk baru berkenaan sudah berada di peringkat akhir penghasilannya dan ia dijangka dilancarkan tiga bulan lagi.
Sebelum ini bantuan dana yang ditawarkan oleh SME Factors kepada
perusahaan kecil dan sederhana (PKS) hanya melibatkan projek-projek
berkaitan kerajaan, syarikat milik kerajaan dan badan berkanun.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Zed Al-Qudsy berkata,
penawaran pembiayaan bagi sektor swasta menyaksikan syarikat baru
seperti SME Factors bakal menghadapi cabaran besar.
"Melihat ke hadapan, SME Factors perlu menawarkan produk baru untuk
sektor ini kerana peluangnya lebih dan permintaan yang jauh lebih besar.
"Berdasarkan pengalaman saya sebagai kontraktor sebelum ini,
kontraktor kecil yang mendapat kontrak swasta berdepan risiko yang lebih
besar dan mereka sangat memerlukan dana untuk modal berbayar," katanya
kepada pemberita hari ini.
Berhubung sumber dana yang digunakan SME Factors, Syed Zed berkata,
syarikat berkenaan memperolehinya daripada bank tempatan dan luar
negara.
Katanya, jumlah dana yang bakal diperuntukkan untuk produk baru
berkenaan mungkin lebih besar daripada dana SMEsuccess yang dilancarkan
sebelum ini iaitu sebanyak RM200 juta.
"Jumlah dana tidak menjadi masalah kerana ia boleh bertambah dari semasa ke semasa, bergantung kepada permintaan," jelasnya.
Beliau berkata, bagi memudahkan SME Factors berhubung dengan PKS
untuk produk baru, syarikat berkenaan akan mula membuka lima buah
cawangan yang dikenali Pusat Pengurusan Pelanggan.
"Ketika ini kami sudah memiliki sebuah di Damansara Utama. Lima lagi
akan dibuka di Johor Bahru, Kuching, Kota Kinabalu, Pulau Pinang dan
Kuantan," ujarnya.
Sementara itu, mengulas mengenai prestasi SMEsuccess yang dilancarkan
bulan lalu, Syed Zed berkata, sambutannya sangat menggalakkan dan
syarikat telah menubuhkan bantuan tambahan iaitu Seminar SMEsuccess bagi
membantu peserta.
"Dana RM200 juta yang diperuntukkan dijangka habis penghujung tahun
ini dan kami akan gandakan jumlahnya menjelang tahun hadapan," katanya
lagi.
No comments:
Post a Comment