Wednesday, July 11, 2012

Seminar berjaya tingkatkan semangat usahawan muda

TELOK KEMANG 10 Julai - Peserta Seminar Usahawan Industri Asas Tani berazam mahu meningkatkan perniagaan mereka selepas melihat pasaran produk keluaran tempatan yang besar potensinya.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0711&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_08.htm
Published: July 11, 2012

Menurut peserta, Dzulkarnain Mohd. Jasmi Tan, 26, berkata, banyak maklumat keusahawanan diperoleh daripada seminar ini.

''Saya belajar di sebuah politeknik dengan mengambil jurusan kejuruteraan mekanikal, tetapi selepas menamatkan pengajian, saya membantu ibu berniaga produk makanan menerusi Syarikat Semenyih Nura.

''Hari ini, saya melihat potensi produk asas tani ini memang besar dan kini, Semenyih Nura telah mengeluarkan 52 jenis produk makanan dan telah pun membuka kilang sendiri di Selangor," katanya ketika ditemui di Port Dickson, dekat sini hari ini.

Dzulkarnain berkata, produk ini yang dihasilkan oleh syarikat berkenaan telah pun memasuki pasaran Sabah dan Sarawak, selain pasar raya Mydin.

''Tidak lama lagi, produk makanan kami akan memasuki pasar raya Tesco seluruh negara," ujarnya bangga.

Seorang lagi peserta, Shaharum Shamsuddin, 49, memberitahu, dia telah mengusahakan produk makanan sejak 10 tahun lalu.

''Antara produk itu adalah kek dan biskut yang kami usahakan melalui syarikat La Nora, yang beroperasi di Gemencheh. Kini, produk makanan itu telah berada di Kuala Lumpur dan dijual di beberapa kedai dan pasar raya," jelasnya.

Tambahnya, melalui seminar ini banyak maklumat diperoleh dan ia dapat membantu usahawan meningkatkan hasil jualan serta mendapat peluang pasaran baru.

Peserta, Siti Mariam Mustafa, 26, pula berkata, dia mengusahakan produk kepelbagaian kerepek di bawah nama syarikat Ilham Al Falah Krupp Crispy.

''Kini sebanyak tujuh jenis kerepek dihasilkan dan telah pun berada di pasaran. Sambutan diterima begitu menggalakkan khususnya menjelang musim perayaan ini," kata bekas pelajar Politeknik Sultan Azlan Shah, Perak itu.

Katanya, orang ramai boleh menempah produk kerepeknya menerusi blognya, kruppcrispy.blogspot.com.

No comments: