Wednesday, April 25, 2012

Pusat Perdagangan China-ASEAN

Source From (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0424&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_05.htm

Published: on 25 April 2012
Oleh NORLAILI ABD. RAHMAN
bisnes@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 23 April - Low Yat Group menyasarkan pembinaan kesemua tiga fasa Pusat Perdagangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) China-Asean di Changshu, China dijangka siap dalam tempoh tiga tahun lagi.

Pengarah Eksekutifnya, Low Gee Teong berkata, pusat perdagangan yang dibangunkan sebagai kawasan dagangan bebas itu akan berfungsi sebagai pusat rujukan sehenti untuk semua syarikat ASEAN terutamanya PKS, selain menyediakan peluang untuk menerokai perniagaan di pasaran China.

"Pusat tersebut bakal meningkatkan perhubungan sosial, budaya, ekonomi dan kerjasama di antara China dan negara-negara ASEAN," katanya semasa sidang akhbar mempromosikan projek tersebut di sini hari ini.
Menurut Gee Teong, fasa pertama projek berkeluasan 31,293 meter persegi dengan nilai 300 juta yuan (RM150 juta) telah siap tahun lalu.

Projek itu merangkumi tujuh blok dengan 213 unit komersial runcit dan ruang pejabat dibina di aras kawasan lantai bersih seluas 38,341 meter persegi dan dilengkapi dengan ruang meletak kereta yang luas.
Sejak dibuka, kira-kira 40 peratus daripada bangunan tersebut telah disewa oleh syarikat-syarikat dari negara ASEAN dan Jepun dengan lima peratus daripadanya telah disewa oleh syarikat Malaysia.
Kebanyakan mereka terlibat dengan produk minyak sawit dan kopi.

Tambah Gee Teong, fasa kedua dan ketiga akan merangkumi kawasan lantai keseluruhan seluas 92,500 meter persegi untuk dijadikan pusat komersial dan SOHO (pejabat kecil, pejabat rumah).
"Kawasan tersebut diwartakan sebagai kawasan bebas cukai dan inilah peluang yang perlu direbut oleh PKS-PKS tempatan yang mahu menembusi pasaran China dan menjalinkan perdagangan dengan negara-negara ASEAN yang lain, " ujar beliau lagi.

Katanya, Changsu yang turut dikenali sebagai Tanah Bertuah telah menjadi nadi perniagaan kepada wilayah Jiangsu yang terkenal dengan jutaan kilang dan perusahaan industri multinasional.
Ia juga merupakan salah sebuah daripada sepuluh pasaran tekstil, pakaian dan aksesori borong terbesar di China.

Menurut statistik, perdagangan Malaysia dengan China telah berkembang dengan pesat dan menjadi pasaran eksport terbesar negara ini tahun lalu dengan mencatatkan bernilai RM91.25 bilion.

No comments: