Wednesday, July 11, 2012

Bantu sejuta syarikat

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bantusejutasyarikat/Article/index_html

Published: July 11, 2012
Oleh Sri Ayu Kartikawati Amri
kartika@hmetr.com.my

KUMPULAN Sedania, syarikat penyedia kandungan terkemuka komited membantu syarikat teknologi tempatan menerusi projek World Innovative Team (WIT) bagi memasarkan produk atau servis mereka hingga ke peringkat global.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azrin Mohd Noor berkata, untuk jangka masa panjang pihaknya menyasarkan membantu membangunkan sejuta syarikat yang dilihat berpotensi dikembangkan.

Bagaimanapun, bagi fasa pertama ini pihaknya membantu sekurang-kurangnya 20 syarikat teknologi tempatan dengan peruntukkan kewangan RM1 juta.

“Projek inisiatif baru dari Sedania ini untuk membawa idea segar daripada syarikat teknologi tempatan yang mempunyai produk terbaik untuk dikomersialkan, sekali gus membantu mereka merancang dan menguruskan perniagaan supaya dapat menembusi pasaran dunia.

“Malah, menerusi WIT, kami mahu memacu inovasi syarikat terbabit untuk mengambil peluang dalam pasaran teknologi global yang dianggarkan bernilai AS$2 trilion (RM6.42 trilion),” katanya pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bersama Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) di Petaling Jaya, semalam. Hadir sama, Ketua Eksekutif MDeC, Datuk Badlisham Ghazali.

Beliau berkata, melalui perkongsian itu juga, MDeC mengesyorkan syarikat berstatus MSC Malaysia yang berpotensi serta berwibawa terutama dalam segmen komunikasi mudah alih, media dan industri pelancongan untuk penilaian Sedania.


Sementara itu, Badlisham berkata, menerusi MoU bersama Sedania itu, ia membantu lebih ramai usahawan teknologi terutama syarikat kecil dan sederhana (PKS) yang ingin memulakan perniagaan dengan sokongan padu daripada Sedania.

“Setakat ini, kami mempunyai 14 syarikat berstatus MSC untuk diberi kepada Sedania bagi melalui proses penilaian ditetapkan dan paling penting diharap WIT membantu mengembangkan lebih banyak PKS yang serius dalam industri teknologi ini,” katanya.

No comments: