Wednesday, July 4, 2012

Patenkan produk usahawan elak diciplak

Source From (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0704&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pahang&pg=wp_02.htm

Published: on 04 July 2012


Mohd. Sharkar Shamsudin (tengah) menerima cenderamata 
daripada Shamsiah Kamaruddin selepas Seminar Kesedaran 
Harta Intelek peringkat daerah Temerloh, baru-baru ini.

TEMERLOH 3 Julai - Usahawan di negeri ini digesa mendaftarkan produk mereka sebagai harta intelek bagi mengelak ia diciplak oleh pihak lain demi mengaut keuntungan.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, langkah itu perlu kerana ia membawa kerugian bukan sahaja kepada pengusaha terbabit malah, ekonomi negeri.

Jelasnya, sebagai contoh, industri ikan patin yang terkenal di negara ini mungkin masih tidak ada pengusaha yang mahu menjaga patennya.

"Penduduk di negeri ini bertuah kerana mempunyai pelbagai jenis industri termasuk makanan, perusahaan dan pertanian yang dikenali, namun mungkin masih ramai dalam kalangan pengusahanya tidak menjaga paten produk mereka.


"Hasil atau produk itu boleh didaftar di bawah komponen harta intelek iaitu Petunjuk Geografi yang mengenal pasti kawasan atau tempat asal sesuatu produk, selain dalam masa sama menjaga kepentingan hak eksklusif penciptanya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Kesedaran Harta Intelek peringkat daerah, di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Harta Intelek Industri MyIPO, Shamsiah Kamaruddin dan Timbalan Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Pahang, Alwi Abdul Hamid.
Mohd. Sharkar memberitahu, Petunjuk Geografi memainkan peranan penting dalam pemasaran kerana ia merupakan satu instrumen penjenamaan dalam memasarkan produk.

Menurutnya, ia juga memberi kesan langsung kepada sektor agropelancongan dan contoh terbaik di negeri ini adalah Ladang Teh di Cameron Highlands yang menarik pelancong dari dalam dan luar negara.

Selain itu, katanya, MyIPO juga mengenal pasti beberapa barangan dan produk tempatan lain yang mempunyai nilai komersial tinggi serta berpotensi untuk didaftarkan di bawah Petunjuk Geografi seperti industri dodol, kraftangan dan banyak lagi.

No comments: