Wednesday, July 11, 2012

Muslim Best perluas edaran Murtabak Raja

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0711&pub=Utusan_Malaysia&sec=Timur&pg=wt_07.htm

Published: July 11, 2012

HASLINDA Nordin menunjukkan Murtabak Raja keluaran 
Muslim Best di pusat jualan Nordin Batik & Craft Sdn. Bhd. 
di kampung Paloh, Kota Bharu, kelmarin.

KOTA BHARU 10 Julai - Murtabak Raja keluaran Muslim Best terus mendapat sambutan menyebabkan syarikat bumiputera itu menambah bilangan kiosk bagi memudahkan orang ramai mendapatkan bekalan dengan lebih mudah.

Sebelum ini, makanan tersebut boleh diperoleh di beberapa kiosk terpilih iaitu di bangunan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa, stesen Petronas Jeli, Kampung Kraf Tangan, Pusat Dagangan Kelantan (KTC) dan Kafe Zaini di Rantau Panjang.

Berikutan sambutan luar biasa yang diberikan, syarikat itu membuka cawangan kiosk terbarunya di pusat jualan Nordin Batik dan Craft Sdn. Bhd. di Kampung Paloh, di sini.

Menurut seorang pengedar syarikat itu, Hasmah Mamat, Muslim Best menawarkan Murtabak Raja dalam pelbagai perisa yang pastinya memenuhi cita rasa pembeli.

"Didatangkan dengan pelbagai perisa iaitu berintikan ayam lada hitam, daging lada hitam, kari ayam, rendang, ikan tuna dan vitato," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Beliau ditemui selepas menyerahkan bekalan Murtabak Raja keluaran syarikat tersebut kepada Pengurus Nordin Batik dan Craft Sdn. Bhd., Haslinda Nordin.

Hasmah berkata, secara purata sebulan lebih 300 kotak murtabak itu yang setiap satu berharga RM18 berjaya dipasarkan.

"Makanan sejuk beku itu dijual dengan harga yang berpatutan, boleh dijadikan buah tangan untuk keluarga dan rakan-rakan termasuk dari luar Kelantan," katanya.

Mengulas pembukaan kiosk terbaru syarikat itu, beliau berkata, ia bagi memudahkan pelanggan dan penggemar murtabak ini mendapatkan bekalan.

Hasmah memberitahu, antara keunikan Murtabak Raja keluaran Muslim Best ialah produk tersebut diproses di kilang di Pengkalan Chepa menggunakan bahan-bahan segar tempatan.

"Justeru, orang ramai tidak perlu bimbang mengenai kualiti dan keselamatan makanan itu yang dipantau secara ketat dan dijamin halal," katanya.

Sementara itu, Haslinda berkata, kehadiran Murtabak Raja di situ bakal menjadikan pusat jualan tersebut sebagai 'pusat sehenti' kepada penggemar batik dan murtabak berkenaan.
 
"Pihak kami sering mengadakan promosi pelbagai batik dan dengan terdapatnya makanan itu, ia mampu melengkapkan peranan pusat ini," katanya.

No comments: