Wednesday, July 4, 2012

42 PKS berjaya capai piawaian Malaysia Brand

SUBANG JAYA 3 Julai - Sebanyak 42 syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) telah menepati piawaian persijilan National Mark of Malaysian Brand (Malaysia Brand) sejak ia diperkenalkan dua tahun lalu.

Source From (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0704&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_04.htm
Published: on 04 July 2012

Pengerusi SME Corporation Malaysia, Datuk Ir. Mohamed Al Amin Abdul Majid berkata, produk yang mendapat persijilan Malaysia Brand akan dipromosikan di luar negara dan turut menerima geran khas daripada pihaknya.

“Geran khas berjumlah RM100,000 itu disalurkan untuk tujuan pengiklanan dan promosi dalam tempoh dua tahun.

“Sebanyak 42 syarikat yang menerima pengiktirafan tersebut adalah daripada 85 permohonan kesemuanya sejak ia diperkenalkan," katanya pada majlis penyampaian sijil tersebut kepada syarikat ke-42, iaitu Delta Perdana Sdn. Bhd. (DPSB) di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan DPSB, Borhanuddin Ramli dan Pengarah Urusan Sirim QAS International Sdn. Bhd., Khalidah Mustafa.


DPSB merupakan syarikat bumiputera yang mengeluarkan meter air berjenama Delta Meter bagi kegunaan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), Syarikat Bekalan Air Negeri Sembilan (Sains), Jabatan Bekalan Air Sabah (JBAS) dan beberapa syarikat bekalan air lain.

Sementara itu, Borhanuddin berkata, syarikatnya berusaha keras untuk melepasi enam peringkat tapisan yang ditetapkan sebelum mendapat pengiktirafan tersebut.

“Kami juga perlu memenuhi beberapa kriteria penilaian yang telah ditetapkan oleh SME Corporation dan SIRIM QAS International yang meliputi aspek pentadbiran dan pengurusan, keupayaan kewangan dan aktiviti pemasaran," katanya.

Tambahnya, DPSB yang kini mengeksport produk mereka ke Vietnam, Kemboja dan Filipina sedang berusaha untuk melebarkan rangkaiannya ke India Brunei, Laos dan Indonesia.

No comments: