Thursday, July 5, 2012

Jepun mampu sumbang pembangunan hab halal

Source From (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Jepunmampusumbangpembangunanhabhalal/Article/index_html

Published: on 05 July 2012

PELABUR Jepun boleh menyumbang kepada pembangunan Hab Halal Tanjung Manis dengan mewujudkan industri penjagaan kesihatan, farmaseutikal dan kosmetik.

Menteri Kedua Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, hab itu terletak di bahagian selatan Mukah, Sarawak, bukan semata-mata untuk industri pemprosesan makanan dan berasaskan agro.

“Hab itu turut mengalu-alukan industri halal lain yang boleh memanfaatkan sumber pelbagai bio yang kaya di Sarawak untuk bahan mentah mereka,” katanya ketika menutup seminar sehari mengenai peluang pelaburan dan perniagaan di Hab Halal Tanjung Manis di Tokyo kelmarin.

Seminar itu dihadiri lebih 150 ahli perniagaan Jepun, dirasmikan oleh Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Awang Tengah berkata, Sarawak mengalu-alukan pelabur Jepun melabur di hab berkenaan yang diberi akreditasi Halmas oleh Perbadanan Pembangunan Industri Halal Malaysia.

Halmas ialah akreditasi diberikan kepada pengendali Taman Halal yang mematuhi syarat dan garis panduan ditetapkan di bawah Perbadanan Pembangunan Industri Halal.


Awang Tengah berkata, Malaysia mengguna pakai metodologi penanda aras ketat berbanding amalan terbaik antarabangsa dalam pembangunan standard halalnya sendiri.

“Metodologi ini disediakan bagi negara lain sebagai sebahagian daripada tanggungjawab kami untuk merancakkan pembangunan serta promosi produk halal, sekali gus menyumbang ke arah pertumbuhan industri halal di pasaran dunia,” katanya.

Meskipun dengan senario ekonomi yang lembap pada masa ini, katanya, kepentingan dalam industri halal cukup kuat untuk menangani sebarang cabaran.

“Ini mengesahkan industri halal mempunyai potensi yang belum ditembusi secara meluas, tetapi ia memerlukan usaha dan kerjasama bagi memastikan kejayaan rangkaian perniagaan,” katanya. - Bernama

No comments: