Thursday, July 5, 2012

Kongres SME 2012 fokus industri F&B

Source From (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/KongresSME2012fokusindustriF_B/Article/index_html

Published: on 05 July 2012

KONGRES SME 2012 yang mengetengahkan kejayaan jenama perniagaan khususnya dalam sektor makanan serta minuman (F&B) dijangka menjadi titik tolak kepada kejayaan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang baru berkecimpung dalam bidang berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Malaysia, Wayne Lim berkata, pihaknya memilih tema F&B selepas melihat peningkatan jumlah usahawan menceburi sektor berkenaan meningkat setiap tahun terutama dalam segmen francais.

“Melalui kongres ini, kami menampilkan empat usahawan yang berkongsi rahsia kejayaan masing-masing dan ia diharap dapat meningkatkan semangat peserta kongres supaya mengikut jejak langkah mereka dalam mencipta nama serta jenama dalam industri ini,” katanya selepas perasmian kongres berkenaan di Petaling Jaya, semalam.

Hadir sama, Pengerusi SME Corp, Datuk Dr Mohamed Al Amin Abdul Majid.

Berikutan itu, Lim berkata, untuk kongres tahun ini pihaknya menampilkan usahawan di sebalik jenama Chatime, Noraini Cookies dan Big Rajah Food Cateters.

“Malah, istimewanya kongres tahun ini, kami turut mengundang usahawan dari Indonesia yang mengasaskan jenama Kebab Turki Baba Rafi yang mencatatkan kejayaan tersendiri dengan 1,000 cawangan di tiga negara termasuk Malaysia,” katanya.


Lim berkata, pihaknya menjangkakan lebih banyak usahawan khususnya yang berkecimpung dalam bidang F&B mendapat manfaat daripada perkongsian yang dibentangkan empat usahawan berkenaan.

“Setiap usahawan mempunyai pengalaman serta halangan yang berbeza, namun ia boleh berlaku kepada usahawan lain. “Dengan perkongsian ini usahawan lain dapat mengambil tip berguna bagi membina jenama mereka sendiri.

“Berikutan itu, kami memilih usahawan yang mengusahakan perniagaan berbeza bagi memberi peserta kongres maklumat yang lebih luas untuk diambil sebagai panduan,” katanya.

No comments: