Thursday, July 26, 2012

Kuasai ekonomi dari awal

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kuasaiekonomidariawal/Article/index_html

Published: July 26, 2012
Oleh A Ghani Nasir

PERTAMBAHAN golongan kelas pertengahan Melayu, terutama selepas pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1970 membantu merancakkan lagi pertumbuhan perniagaan membabitkan dua kumpulan etnik minoriti – kaum India Muslim dan juga Cina Muslim.
Ini berikutan kuasa membeli bertambah secara mendadak oleh kelas pertengahan Melayu selain etnik lain. Golongan profesional, pentadbiran dan teknikal Melayu meningkat daripada 2.188% pada 1970 kepada 4.81% pada 1980 seterusnya kepada 8.91% pada 1995 dan 16.27% pada 2005.

Satu fakta tidak boleh disangkal adalah kedua-dua kelas pertengahan baik India Muslim atau Cina Muslim di negara ini hari ini mewarisi bidang perniagaan sejak awal kedatangan mereka, khususnya pedagang India ke Tanah Melayu pada abad ke-14. Perniagaan mereka terus berkembang walaupun dengan pemergian kuasa penjajah dengan orang Melayu menjadi masyarakat majoriti.
Sejarah menunjukkan pedagang India Muslim bersama-sama Arab menjadi peneraju dalam aktiviti perdagangan di Alam Melayu hingga membantu dalam mengukuhkan kuasa ekonomi kerajaan Islam, terutama di Melaka dan kemudian diikuti Aceh.

Masyarakat Cina Muslim pula, terutama suku Hui menurut catatan terbabit dalam bidang perniagaan sejak datang ke sini pada akhir abad ke-19 dan awal ke-20.

Fakta ini dibentangkan dalam satu seminar mengenai pengembangan kelas menengah Muslim di Malaysia anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia, baru-baru ini.

Dua pembentang kertas kerja, Mohd Irman Nasir dan Wan Kamal Mujani menarik perhatian penempatan India Muslim adalah seiring dengan berkembangnya bandar di Malaysia dan berkait rapat dengan pembabitan mereka dalam kegiatan ekonomi.

Secara amnya, kelas menengah India Muslim ini terbabit dalam perniagaan berasaskan makanan, peruncitan, pengurupan wang, tekstil, penerbitan, percetakan dan pengedaran, barang kemas dan tidak kurang juga dalam bisnes import-eksport.
Sektor peruncitan yang diceburi itu memperlihatkan perkembangan amat memberangsangkan dengan pembukaan pasar raya Mydin Holdings yang terkini mempunyai 90 cawangan di seluruh negara. Ia dijadikan contoh bagi syarikat peruncitan kecil yang diuruskan dengan cekap hingga berubah daripada ‘kedai runcit’ kepada perniagaan berskala besar.

Bagaimanapun, seminar diberitahu perniagaan berasaskan makanan muncul sebagai satu identiti dikaitkan dengan kelas menengah India Muslim iaitu restoran ‘mamak’ atau digelar juga ‘restoran mapley’.

Selain roti canai dan nasi kandar dijual di restoran besar 24 jam, golongan India Muslim turut sama menguasai jualan ‘rojak mamak’, cendol, ais kacang, sup kambing dengan identiti terbaru iaitu teh tarik.

Golongan suku kaum India Muslim daripada kalangan Malabari, Tamil dan Uttar Pradesh pula giat berniaga capati selain nasi kari mamak.

Kemajuan perniagaan berkenaan menggerakkan peniaga ini menubuhkan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dengan 3,500 pemilik restoran menjadi ahli daripada kira-kira 7,500 premis perniagaan.

Presiden Presma, Noorul Hasan Saul Hameed menganggarkan restoran mamak berjaya menjana sehingga RM8 bilion setahun – satu sumbangan tidak kurang besar kepada ekonomi negara.

Salah satu perniagaan yang masih lagi dikuasai orang India Muslim adalah pengurup wang asing dan ini didominasi kalangan Tamil dari selatan India.

Pada mulanya mereka beroperasi di kawasan pelabuhan tetapi ia meluas ke kawasan bandar, terutama di kompleks beli-belah walaupun dalam ruang kecil.

Dalam perniagaan tekstil walaupun saudagar Sikh dan Sindhi dominan, namun golongan India Muslim khususnya orang Chulia, Gujerati dan Tamil Muslim tetap memiliki kedai kain dan pakaian terkenal seperti Haniffa Textiles, KK dan Mansure Trading.

Perlu ditegaskan di sini, sektor penerbitan, percetakan dan pengedaran milik India Muslim dan Jawi Peranakan menjadi perintis dalam penerbitan akhbar Melayu – Jawi Peranakan. Ia diterbitkan pada 1876 hingga 1895 oleh Munshi Mohd Said bin Dada Mohyiddin.

Sektor perniagaan ini berterusan sehingga hari ini dengan Marican and Sons, International Law Book Services, Percetakan Zafar dan Dinee Publishers antara nama terkemuka.

Perniagaan barang kemas pula dimonopoli tiga syarikat India Muslim iaitu Habib Jewels, KM Oli Mohamad dan Sri Pinang.

Dalam membicarakan golongan Cina Muslim pula pembentang kertas kerja, Abdul Qayyum Razak dan Wan Kamal Mujani menjelaskan tiga pendatang Cina Muslim dari tanah besar China membabitkan diri dalam perniagaan di Terengganu pada akhir abad ke-19.

Selain membekalkan ubat-ubatan dikenali sebagai ‘Renji Tang’, Pak Do Yunan, Pak Musa Yunan dan Pak Ali Yunan ini juga mengusahakan perniagaan bijih timah, beras dan kedai buku – Toko Abdullah Alyunani.

Bancian pada 2000 menunjukkan ada 57,721 orang Cina Muslim di negara ini dengan sebahagian besar tertumpu di Selangor dan Kuala Lumpur.

Selain perniagaan tradisional mereka seperti pengilangan beras, peruncitan, pengeluaran dan pemprosesan barang, terkini golongan ini amat berjaya dalam bidang perniagaan restoran di sekitar bandar satelit Lembah Klang seperti di Hulu Klang dan juga Bangi.

Contoh yang ketara adalah restoran Haji Sharin Low yang berkembang pesat dan memiliki tujuh cawangan dalam masa dua tahun saja. Ini diikuti dengan restoran Mohd Chan Abdullah sebanyak lapan cawangan dan Haji Yusuf Ong sebanyak dua cawangan di Shah Alam yang diberi nama restoran Cina Muslim al-Munawwarah.

Faktor yang perlu ditekankan di sini adalah peniaga restoran ini mewarisi kemahiran memasak dan berniaga turun temurun daripada nenek moyang mereka.

Selain kejayaan mereka dicapai berdasarkan hakikat mereka tergolong dalam saudara baru membuat mereka sentiasa disokong umat Islam amnya manakala masyarakat bukan Islam pula berasa yakin menikmati makanan ditawarkan ditambah dengan status halalnya.

Imran dan Wan Kamal memutuskan bahawa orang Melayu tidak perlu takut atau iri hati dengan kemampuan masyarakat India Muslim yang maju ke depan dalam bidang ekonomi.

“Siapa lagi yang dapat membela dan menyokong orang Melayu jika bukan saudara seagama mereka seperti India Muslim dan Cina Muslim.

“Jika mereka juga kita musuhi atau bersifat dingin dengan mereka, maka ia amatlah merugikan orang Melayu dengan serugi-ruginya. Ini kerana asas kepada kekuatan umat Islam hari ini adalah hanya dengan perpaduan,” katanya.

Penulis wartawan bebas untuk Portal Berita UKM dan BH Singapura

No comments: