Monday, July 9, 2012

RM600 juta dana mudah cara untuk syarikat bumiputera

Source From (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/rm600-juta-dana-mudah-cara-untuk-syarikat-bumiputera-1.64946

Published: on 09 July 2012

PUTRAJAYA - Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM600 juta dana mudah cara sebagai bantuan kepada syarikat Bumiputra melaksanakan projek-projek infrastuktur dengan kos minimum RM5 juta, dengan dana maksimum berjumlah 15 peratus daripada kos keseluruhan projek.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata sebelum ini dana mudah cara untuk syarikat Bumiputra hanya terhad kepada mereka yang menjalankan projek dengan kos minimum RM20 juta, namun sambutan yang diterima tidak menggalakkan apabila hanya tujuh permohonan diterima dan empat yang diluluskan.

"Ini kemudahan baharu yang diluluskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membolehkan lebih banyak syarikat Bumiputra mendapat akses daripada dana mudah cara ini," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Nor Mohamed berkata dana itu boleh dipohon melalui lima projek koridor di negara ini iaitu Iskandar Malaysia (IM), Wilayah  Koridor Ekonomi Utara (NCER), Wilayah Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER), Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan Koridor Tenaga Diperbaharui (SCORE), ataupun secara terus dengan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).

Beliau berkata setiap permohonan akan diteliti dengan segera dan keputusan sama ada diluluskan atau tidak, akan diketahui dalam tempoh sebulan dari tarikh permohonan.

Nor Mohamed berkata kerajaan sebelum ini memutuskan untuk memperuntukkan sejumlah RM20 bilion dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) sebagai dana mudah cara menerusi Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) untuk syarikat-syarikat swasta yang ingin menjalankan projek dengan kos minimum RM100 juta dengan jumlah maksimum dana yang diberikan sebanyak 10 peratus daripada kos keseluruhan.
Beliau berkata daripada jumlah itu, RM2 bilion diperuntukkan untuk syarikat Bumiputra melalui Teraju, dengan sedikit kelonggaran diberikan iaitu kos projek minimum sebanyak RM20 juta, dan jumlah maksimum dana sehingga 15 peratus daripada kos keseluruhan projek.

Nor Mohamed sebelum itu menyaksikan majlis menandatangani perjanjian dana mudah cara antara UKAS dengan Plaza Merdeka Holdings Sdn Bhd membabitkan dana berjumlah RM30.69 juta untuk pembinaan Pusat Beli-belah dan Hotel Plaza Merdeka di Kuching, Sarawak.

Satu lagi perjanjian ditandatangani dengan Tasja Development Sdn Bhd dengan dana berjumlah RM57.5 juta bagi pembinaan Kuantan Hi-Tech Park, di Kuantan, Pahang.

Sehingga kini jumlah dana yang diluluskan, termasuk dua projek yang ditandatangani hari ini, berjumlah RM5.1 bilion, manakala jumlah dana yang masih diproses bernilai RM4.7 bilion, katanya. - Bernama

No comments: