Thursday, July 5, 2012

Pelabur Jepun boleh sumbang kepada pertumbuhan Hab Halal Tanjung Manis

Source From (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/pelabur-jepun-boleh-sumbang-kepada-pertumbuhan-hab-halal-tanjung-manis-1.63651

Published: on 05 July 2012

KUCHING - Para pelabur Jepun boleh menyumbang kepada pembangunan Hab Halal Tanjung Manis dengan mewujudkan industri-industri penjagaan kesihatan, farmaseutikal dan kosmetik di sana, kata Menteri Kedua Perancangan   Sumber dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan hari ini.

Hab itu, yang terletak di bahagian selatan Mukah, Sarawak, bukan hanya semata-mata untuk industri pemprosesan makanan dan berasaskan agro, kata beliau.

"Hab itu turut mengalu-alukan industri halal yang lain yang boleh memanfaatkan sumber pelbagai bio yang kaya di Sarawak untuk bahan mentah mereka," kata beliau ketika menutup seminar satu hari mengenai peluang pelaburan dan perniagaan di Hab Halal Tanjung Manis di Tokyo semalam.

Teks ucapannya dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan Sarawak di sini.   

Seminar itu yang dihadiri oleh lebih 150 ahli perniagaan Jepun, dirasmikan oleh Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Awang Tengah berkata Sarawak sememangnya mengalu-alukan para pelabur Jepun melabur di hab itu yang telah diberikan akreditasi "HALMAS" oleh Perbadanan Pembangunan Industri Halal Malaysia.

HALMAS ialah akreditasi yang diberikan kepada pengendali Taman Halal yang berjaya mematuhi syarat dan garis panduan yang ditetapkan di bawah Perbadanan Pembangunan industri Halal.

Awang Tengah berkata Malaysia mengguna pakai metodologi penanda aras yang ketat berbanding amalan terbaik antarabangsa dalam pembangunan standard halalnya sendiri.  

"Metodologi ini telah disediakan kepada negara-negara lain sebagai sebahagian daripada tanggungjawaqb kita untuk merancakkan pembangunan dan promosi produk halal dan sekali gus, menyumbang ke arah pertumbuhan industri halal di pasaran dunia," kata beliau.     Meskipun dengan senario ekonomi yang lembap pada masa ini, beliau berkata, kepentingan dalam industri halal sudah cukup kuat untuk menangani sebarang cabaran.

"Ini mengesahkan yang industri halal mempunyai potensi yang belum ditembusi secara meluas, tetapi ia memerlukan usaha dan kerjasama bagi memastikan kejayaan rangkaian perniagaan," kata beliau. -- Bernama

No comments: