Thursday, July 5, 2012

Lebih banyak barangan gaya hidup Jepun di pasar Malaysia

Source From (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/lebih-banyak-barangan-gaya-hidup-jepun-di-pasar-malaysia-1.63650

Published: on 05 July 2012

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO) merancang mengeksport lebih banyak produk gaya hidup perusahaan kecil dan sederhana (PKS)nya ke Malaysia bagi meningkatkan hubungan perniagaan antara kedua-dua negara.
  
Untuk itu, organisasi berkaitan kerajaan Jepun itu akan menganjurkan Pameran Gaya Hidup "GOOD GOODs Japan" di pusat membeli-belah Pavilion di sini dari 23 hingga 29 Julai ini.
  
Produk gaya hidup terbaharu Jepun seperti tembikar, perkakasan dapur, penjagaan rambut dan barangan kemudahan akan diperkenal dan dipasarkan.
  
Pengarah Urusan Jetro Joji Ikeshita berkata pada masa ini 80 peratus PKS Jepun hanya memasarkan produk masing-masing dalam pasaran domestik.
  
"Mereka menganggap Malaysia sebagai pasaran Islam dan tidak mudah ditembusi. Namun, kuasa membeli di Malaysia semakin meningkat.
  
"Memandangkan PKS Jepun tidak pernah mengembangkan perniagaan mereka di sini, kami sedang mengajar mereka memandangkan ia merupakanpenyertaan pertama," katanya pada taklimat media. 
  
Beliau berkata Pameran Gaya Hidup itu merupakan antara kaedah yang digunakan untuk mengetengahkan PKS Jepun ke pasaran Malaysia selain menghapuskan tanggapan salah mereka.
  
"Menerusi pameran ini, kami berharap mereka akan melihat Malaysia sebagai platform untuk meluaskan perniagaan masing-masing, selain ke pasaran negara Islam yang lain," katanya.
  
Empat puluh syarikat PKS Jepun akan mengambil bahagian pada pameran itu yang akan mengetengahkan lebih daripada 300 barangan, sempena ulang tahun pertama Tokyo Street Pavalion.
  
Bagi mengukuhkan hubungan dengan syarikat Malaysia, sesi padanan perniagaan akan diadakan bersama peruncit dan pemborong tempatan.
  
"Kami masih dalam peringkat mempelawa lebih ramai syarikat Malaysia menyertainya. Kami berminat untuk menerima penyertaan peruncit dan pemborong untuk pertemuan bersemuka itu," kata Joji.
  
Beliau berkata terdapat banyak peluang untuk kedua-dua negara meningkatkan hubungan dua hala, terutama sektor PKS. - Bernama

No comments: