Thursday, July 12, 2012

Cungkil pakar PKS

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/CungkilpakarPKS/Article/index_html

Published: July 12, 2012
Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@hmetro.com.my

PENGGIAT perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia berpeluang merebut peluang meneroka kegiatan pemerolehan serantau GE Energy dalam industri minyak dan gas bernilai lebih AS$250 juta (RM796 juta) setahun.

Eksekutif GE Energy (Malaysia), Pahmi Mokhtar (gambar) berkata, pihaknya ketika ini meninjau potensi untuk mencungkil kepakaran PKS dalam sektor berkenaan dari rantau Asean termasuk di negara ini.

“Kami baru saja bermula di Malaysia. Bagaimanapun, dulu kami sudah melaksanakannya dengan menyokong kontrak syarikat di negara ini.

“Apa yang ingin dikatakan sebenarnya sedikit berbeza iaitu membabitkan pemerolehan serantau dengan potensi pemerolehan AS$250 juta setahun dan kami berpandangan Malaysia adalah satu daripada pembekal kami di Asean,” katanya selepas merasmikan seminar peluang perniagaan bagi sektor minyak dan gas dengan GE Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Dr Wong Lai Sum.

Sementara itu, Dr Wong berkata, objektif seminar berkenaan diadakan bertujuan untuk membuka peluang kepada lebih banyak syarikat tempatan yang berpotensi untuk menjadi rakan niaga jangka panjang dengan GE.

“Menerusi seminar ini, syarikat Malaysia disediakan maklumat mendalam mengenai keperluan pemerolehan dan dasar serta menyediakan bahan selain penjelasan mengenai projek minyak dan gas yang disediakan GE,” katanya.

Beliau berkata, selain sektor minyak dan gas, Matrade akan menganjurkan sembilan lagi sesi di bawah Program Penyumberan Global tahun ini membabitkan syarikat global dalam pelbagai sektor berlainan termasuk elektrik dan elektronik.

“Ia sebahagian daripada strategi kami dalam membantu syarikat Malaysia mendapat pengiktirafan pasaran global terutamanya syarikat tempatan yang mempunyai keupayaan membekalkan produk dan perkhidmatan mereka ke pasaran antarabangsa,” katanya.

No comments: