Friday, July 13, 2012

Lahir PKS berdaya saing peringkat global

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/LahirPKSberdayasaingperingkatglobal/Article/artikel

Published: July 13, 2012

Najib melihat buku Pelan Induk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) 2012-2020 pada pelancaran buku itu di Putrajaya, semalam. Turut memerhati, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Datuk Hafsah Hashim. - Foto Fariz Iswadi Ismail  
Najib melihat buku Pelan Induk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) 2012-2020
 pada pelancaran buku itu di Putrajaya, semalam. Turut memerhati, Menteri Perdagangan 
Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Pegawai
 Eksekutif SME Corp, Datuk Hafsah Hashim. - Foto Fariz Iswadi Ismail

Putrajaya: Datuk Seri Najib Razak semalam melancarkan Pelan Induk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) 2012-2020 sebagai peneraju baru ekonomi negara.

Pelan itu bermatlamat meningkatkan pertumbuhan perniagaan, menambah bilangan syarikat yang mempunyai pertumbuhan tinggi serta berinovasi, meningkatkan produktiviti dan mempergiat tata cara perniagaan. Perdana Menteri berkata, semua empat matlamat itu akan menyumbang kepada visi pelan berkenaan untuk melahirkan PKS yang berdaya saing pada peringkat global serta meningkatkan kekayaan dan kesejahteraan rakyat.

“Pelan ini akan melakar hala tuju PKS dengan mensasarkan peningkatan sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada 32 peratus dua tahun lalu kepada 41 peratus menjelang 2020.

“Pelan induk ini adalah pelan sepanjang hayat yang akan kekal relevan kerana ia dinamik dan boleh disesuaikan mengikut perubahan persekitaran semasa.

“Pendekatan ini membolehkan kita mencapai hasil yang optimum, menggalakkan pertumbuhan dan pelaburan PKS dalam ekonomi,” katanya berucap pada majlis Pelancaran Dokumen Pelan Induk PKS di sini, semalam.

Najib berkata, lantaran persekitaran luaran yang sentiasa berubah dan persaingan sengit, negara memerlukan formula baru untuk menjana pertumbuhan dan pelaburan menerusi sumber domestik berikutan 97 peratus entiti perniagaan di Malaysia membabitkan PKS.

Katanya, usaha itu juga memerlukan lonjakan berganda dalam PKS menerusi enam program berimpak tinggi dan pelengkap lain, semuanya merangkumi 32 inisiatif.

Beliau berkata, mesyuarat Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan dipengerusikannya semalam turut menekankan strategi baru melonjakkan dan sokongan kepada syarikat mikro.

Tegas beliau, pendekatan itu penting supaya enterpris mikro yang kini membentuk 77 peratus daripada semua entiti perniagaan, dilonjakkan ke status PKS.

“Pelan ini adalah strategik dan pelengkap kepada dasar dan inisiatif sedia ada. Ia perlu kerana kita hanya ada lapan tahun untuk mencapai Wawasan 2020.

“Justeru, semua dasar ekonomi, termasuk pembangunan PKS harus bergerak seiring,” katanya.

Pelan induk itu dibangunkan dengan kerjasama Bank Dunia, dengan menerapkan amalan yang terbukti berkesan, mengutamakan mekanisme penilaian dan pemantauan.

Dalam pada itu, SME Corp Malaysia dalam kenyataannya, berkata PKS negara ini disasarkan mencapai purata pertumbuhan KDNK 8.7 peratus setahun mulai tahun ini sehingga 2020 melalui pelan induk berkenaan.

Sumbangan PKS kepada tenaga kerja dan eksport, masing-masing meningkat kepada 62 peratus dan 25 peratus berbanding 59 peratus dan 19 peratus pada masa ini.

No comments: