Tuesday, July 10, 2012

RM600j dana bantu syarikat Bumiputera

Source From (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/RM600jdanabantusyarikatBumiputera/Article

Published: on 10 July 2012

Kerajaan memperuntukkan RM600 juta sebagai dana mudah cara untuk membantu syarikat Bumiputra melaksanakan kontrak berkaitan projek infrastruktur.

Nilai minimum projek yang layak mendapatkan bantuan pembiayaan dana itu ialah RM5 juta. Kadar pembiayaan maksimum pula ialah 15 peratus daripada kos keseluruhan projek. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata sebelum ini dana mudah cara itu hanya terhad kepada syarikat Bumiputera yang menjalankan projek dengan kos minimum RM20 juta, tetapi sambutannya tidak menggalakkan apabila hanya tujuh saja permohonan diterima dengan empat diluluskan.

Akses dana

“Ini kemudahan baru yang diluluskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membolehkan lebih banyak syarikat Bumiputra mendapat akses kepada dana mudah cara ini,” katanya pada sidang media di Putrajaya, semalam.

Nor Mohamed berkata, dana itu boleh dipohon melalui lima projek koridor di negara ini iaitu Iskandar Malaysia (IM), Wilayah Koridor Ekonomi Utara (NCER), Wilayah Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER), Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan Koridor Tenaga Diperbaharui (SCORE), atau secara terus dengan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU).

Beliau berkata, setiap permohonan diteliti segera dan keputusan sama ada diluluskan atau tidak, akan diketahui dalam tempoh sebulan dari tarikh permohonan.

Nor Mohamed berkata, kerajaan sebelum ini memutuskan memperuntukkan RM20 bilion dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) sebagai dana mudah cara menerusi Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) untuk syarikat swasta menjalankan projek dengan kos minimum sebanyak RM100 juta manakala jumlah maksimum dana diberikan 10 peratus daripada kos keseluruhan.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, kira-kira RM2 bilion diperuntukkan bagi syarikat Bumiputra melalui TERAJU, dengan sedikit kelonggaran diberikan iaitu kos projek minimum RM20 juta, dan jumlah maksimum dana sehingga 15 peratus daripada kos keseluruhan projek.

Nor Mohamed sebelum itu menyaksikan majlis menandatangani perjanjian dana mudah cara antara UKAS dan Plaza Merdeka Holdings Sdn Bhd membabitkan jumlah RM30.69 juta bagi pembinaan pusat beli-belah dan Hotel Plaza Merdeka di Kuching, Sarawak.

Satu lagi perjanjian ditandatangani dengan Tasja Development Sdn Bhd dengan dana berjumlah RM57.5 juta bagi pembinaan Kuantan Hi-Tech Park, di Kuantan, Pahang.

Sehingga kini jumlah dana yang diluluskan, termasuk dua projek yang ditandatangani semalam ialah RM5.1 bilion, manakala jumlah dana yang masih diproses bernilai RM4.7 bilion. - BERNAMA

No comments: